Kebebasan Bersuara Segar Dalam Umno? Kenapa Kadir Dihentam Puak Umno Apabila Menegur?
Kebebasan bersuara dalam Umno masih wujud malah segar dalam era transformasi dan model baru politik pada masa ini, kata beberapa pemimpin Umno pelbagai peringkat bagi menyangkal kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kononnya Umno kini sudah tidak lagi menyediakan ruang untuk anggotanya memberi perbezaan pendapat.
Di laman sosial pula, terdapat penyokong Umno yang mencabar Abdul Kadir, yang kini bendahari Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu, supaya keluar parti dan menegur Umno dari luar seperti yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamed Aziz menolak keras pendapat Abdul Kadir itu, dengan berkata Umno tidak pernah menyekat anggotanya untuk bersuara selama ini.
"Kita bebas bercakap. Saya hormati beliau tetapi janganlah apabila kita sudah tidak berada dalam arus perdana parti, parti pula dikritik dan diburukkan. Umno yang membela bangsa dan agama selama ini, dan sedikit sebanyak membantu beliau," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohamed, yang juga ketua Umno bahagian Sri Gading, berkata beliau sendiri adalah antara orang yang lantang bersuara dalam Umno tetapi tidak pula pernah dikenakan tindakan.
"Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pun ada yang sampai merah-merah muka (kerana berbeza pendapat). Adakah ini bukan satu bentuk kebebasan bersuara?" katanya.
Anggota Majlis Tertinggi Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub juga tidak bersetuju dengan pandangan Abdul Kadir.
"Dalam mesyuarat bahagian baru-baru ini, anggota parti membuat tuntutan-tuntutan yang radikal supaya pihak atasan boleh mengambil kira, malah dalam Veteran Umno sekalipun mereka masih bertindak membuat teguran namun kurang mendapat liputan media," katanya.
Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berpendapat apa yang katakan oleh Abdul Kadir itu hanyalah pendapat peribadinya dan tidak mencerminkan keadaan sebenar yang ada sekarang.
"Saya kurang bersetuju dengan beliau. Kalau nak dikirakan, pelbagai transformasi sudah dilaksanakan dalam kerajaan dan juga politik. Lihat sahaja di mana Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak merombak pemilihan Umno.
"Perubahan ini meletakkan beliau sendiri boleh dicabar kedudukannya sebagai presiden dengan hanya dua pencalonan," katanya.
Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan menggangap kenyataan Abdul Kadir adalah tuduhan melulu, tidak berasas dan memperlekehkan usaha presiden parti untuk mendemokrasikan Umno.
"Perdana Menteri faham bahawa gagasan 1Malaysia hanya boleh berjaya dengan adanya budaya keterbukaan dan mengkritik secara membina," katanya.
Abdul Rahman berkata akhbar kini juga lebih terbuka manakala blog, portal berita dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang digunakan oleh jutaan rakyat Malaysia begitu bebas.
"Saya cadangkan beliau membuka blog beliau sendiri agar senang orang ramai membalas hujah-hujah beliau. Nanti bila beliau baca komen-komen dalam blog beliau, saya rasa beliau jugalah orang pertama yang akan meminta perdana menteri mengekang kebebasan bersuara di negara ini," katanya.
- Bernama
kebebasan ada? betul ke?
No comments
Post a Comment