Kontroversi gereja, PAS mula tunjuk pendirian tegas


Hampir seminggu selepas tercetus kontroversi ekoran siasatan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja di Damansara, Selangor, PAS mula menunjukkan sikap tegas berhubung tindakan pihak berkuasa agama itu.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan sokongan terhadap tindakan Jais dan Datuk Dr Hasan Ali, selepas mendengar penjelasan daripada bekas pemimpin PAS Selangor itu.

Kenyataan ketua Pemuda PAS ini merupakan yang paling tegas daripada parti Islam itu selepas episod yang menjadi kontroversi di Selangor itu.

"Saya memahami kedudukannya, menghormati pendiriannya, menerima keikhlasannya dan menyokong tindakannya dalam hal ini, demi melihat aqidah Islam dipertahan dan diperjuangkan," tegas Nasrudin dalam blognya.

Nasrudin menjadikan isu mempertahankan aqidah umat Muslim sebagai isu utama dalam kontroversi melibatkan gereja dan dakwaan usaha memurtadkan orang Muslim ini.

Hasan yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS berdepan kritikan keras pelbagai pihak dan digambarkan berdepan siasatan kepimpinan pusat ekoran sokongannya terhadap tindakan Jais itu.

Nasrudin pada masa sama turut menyatakan sokongan kepada rancangan pertemuan dialog PAS dengan pihak Jais dan gereja terbabit, dan menegaskan pemeliharaan hak pengikut agama lain.

Beliau juga mengajak kepada penyatuan umat dalam isu aqidah tanpa dipengaruhi keperluan politik pilihan raya, kenyataan yang dilihat bertujuan menyatakan ketegasan PAS dalam isu agama dan pada masa sama mengkritik pihak yang menggunakan isu itu untuk sokongan politik.

"Umat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan umat Islam dari dalam," tulis Nasrudin.

"Justeru harga aqidah umat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun Dun, demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai aqidah, taruhannya ialah darah dan nyawa."

Kenyataan pemimpin Pemuda PAS ini dilihat menjawab dakwaan sesetengah pihak, terutama pesaingnya Umno yang mendakwa PAS semakin tunduk kepada sekutu dan keperluan pragmatik politik pilihan raya.

Pendirian PAS yang dijangka ditegaskan selepas mesyuarat semalam menjadi tumpuan ramai yang memerhatikan sikap parti Islam itu dalam episod terbaharu kontroversi dalam hubungan antara agama melibatkan parti itu.

http://siasahdaily.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.