Negara dalam keadaan darurat

oleh SYAHREDZAN JOHAN


Tahukah anda pada ketika ini, negara kita berada dalam keadaan darurat? Jangan terperanjat, ini diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.

Beliau menyatakan, terdapat dua Perisytiharan Darurat iaitu pada 1964 dan 1969 yang berkuat kuasa di seluruh negara dan masih belum ditamatkan.

Menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, jika YDPA berpuas hati bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam dalam negara adalah terancam oleh kerananya, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat.

Apabila Perisytiharan Darurat diumumkan, YDPA boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan. Maknanya, undang-undang (yang dikenali sebagai ‘ordinan darurat’) boleh digubal tanpa perlu diluluskan oleh Parlimen dan undang-undang ini akan mempunyai kesan seperti sebuah Akta Parlimen sehinggalah ia dibatalkan atau dimansuhkan.

Lebih penting lagi, apa-apa ordinan darurat yang dimasyhurkan adalah sah walaupun ia tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan, melainkan percanggahan itu adalah berkenaan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. Oleh itu, suatu ordinan darurat boleh menggantung kebebasan dan hak asasi kita yang termaktub dalam Perlembagaan dan ia adalah sah.

Contoh ordinan darurat yang telah dimasyhurkan ialah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang sering kali digunakan untuk menahan seseorang tanpa bicara.

Seksyen 3 ordinan tersebut memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan tanpa bicara seseorang atas dasar mencegah ancaman terhadap ketenteraman awam atau jenayah melibatkan keganasan selama tidak lebih dari 60 hari. Ini dipanggil ‘penahanan polis’. Manakala Seksyen 4 ordinan tersebut pula memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah bagi menahan seseorang tanpa bicara untuk suatu tempoh yang tidak melebihi dua tahun. Ini dipanggil ‘Perintah Tahanan’. Perintah Tahanan ini boleh diperbaharui berkali-kali tanpa had.

Jika dilihat, kuasa-kuasa diberikan kepada polis dan Menteri Dalam Negeri di bawah ordinan tersebut adalah sama dengan yang diberikan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Kedua-duanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menahan seseorang itu tanpa bicara.

Tahanan selalunya akan memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah untuk mendapatkan perintah bahawa penahanan mereka tidak mengikut undang-undang (unlawful detention). Sekiranya penahanan itu hanya penahanan polis di bawah Seksyen 3, masih ada peluang untuk berjaya kerana pihak polis harus memberi justifikasi objektif mengapa mereka menahan.

Tetapi, sekiranya ia adalah Perintah Tahanan di bawah Seksyen 4, menteri tidak perlu memberi justifikasi, sudah cukup beliau berpuas hati terdapat sebab-sebab untuk menahan dan Mahkamah tidak akan mempersoalkan sebab-sebab tersebut.

Di samping itu, Seksyen 7C ordinan tersebut menyatakan Mahkamah tidak boleh mempersoalkan atau menyemak semula bidang kuasa menteri kecuali terdapat kekhilafan dari segi prosedur, contohnya jika Perintah Tahanan tidak ditandatangani.

Oleh sebab itu, peguam yang mewakili tahanan akan sentiasa memohon supaya bicara permohonan habeas corpus dipercepatkan sebelum Perintah Tahanan dikeluarkan oleh menteri. Secara jujur, adalah mustahil untuk mana-mana pihak memberi justifikasi mengapa negara ini masih berada di bawah keadaan darurat. Tidak ada perintah berkurung, tidak ada keadaan berbahaya, tidak ada apa-apa mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam. British telah lama pulang, komunis militan tidak lagi berjuang dan kita tidak berperang dengan mana-mana negara.

Maka, keadaan darurat yang membelenggu negara ini sewajarnya ditamatkan dengan serta-merta. Jika tidak, bagaimana hendak terangkan kepada dunia bahawa negara Truly Asia ini masih berada dalam darurat yang berdekad lamanya?

No comments

Powered by Blogger.