Pakar Perubatan Barat Akui Kehebatan Puasa
PUASA DARI SUDUT PERUBATAN
Penurunan Berat Badan
Ini dapat membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes untuk menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat dan murah. Bagi pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi pula, ini dapat menurunkan paras tekanan darah serta kandungan gula mereka dengan lebih baik. Penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.
Mempercepat Proses Pemulihan
Ketika berpuasa, penggunaan tenaga diarahkan dari sistem penghadaman ke sistem-sistem lain seperti penyembuhan, imun atau metabolisme badan. Manakala, proses penggantian tisu yang rosak menjadi bertambah baik hasil proses pembentukan protein sintesis yang semakin berkesan yang disebabkan oleh antibodi badan yang lebih teratur. Pembentukan protein yang lebih efisien akan menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat. Kajian turut mendapati berlaku penurunan suhu badan dan kemerosotan kadar asas metabolisme badan ketika berpuasa menjadikan badan menyimpan lebih tenaga.
Awet Muda dan Memanjangkan Usia
Hormon pertumbuhan, sejenis hormon anti penuaan didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa. Selain itu, fenomena ini dikatakan juga berpunca daripada proses pembentukan sintesis protein yang lebih efektif, ketahanan badan yang lebih baik serta kadar metabolik yang lebih rendah.
Mengurangkan Risiko Penyakit Aterosklerosis
Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula. Ini tentunya mengurangkan risiko penyakit aterosklerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plak-plak berlemak berkembang pada dinding-dinding dalam dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat). Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.
Solat Tarawih Memetabolismekan Makanan
Cantik sekali apabila bulan puasa turut diiringi dengan sembahyang sunat tarawih pada sebelah malamnya. Ianya membantu memproses makanan yang dimakan ketika berbuka untuk digunakan sebagai tenaga (sehingga 200 kalori). Di samping itu, ianya juga bertindak sebagai satu cara senaman yang ringkas dan baik untuk menguatkan sistem kardiovaskular (jantung dan aliran darah).
Mendisiplinkan Diri Agar Berhenti Merokok
Amalan puasa juga dapat melatih diri meninggalkan amalan yang kurang baik seperti mengurangkan nikotin yang berbahaya di dalam tubuh perokok. Ketika siang hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana terpaksa berpuasa manakala pada malam hari, perokok boleh meninggalkan rokok kerana takut akan kemudaratan kesihatan seperti penyakit kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit sekatan pernafasan..
Ketenangan Mental
Dari segi kesihatan mental, umat manusia berasa lebih tenang di bulan Ramadan yang mulia ini. Ganjaran yang berlipat ganda pada bulan puasa menjadikan mereka lebih bertumpu kepada menunaikan ibadah, sekali gus mengurangkan kes-kes jenayah.
Pemakanan di Bulan Ramadan
Pastikan makanan yang seimbang (buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat, protein) ketika bersahur dan berbuka puasa. Tidak perlu makan banyak. Ketika berbuka disunatkan mengambil kurma kerana kandungan gula yang tinggi bertindak sebagai pembekal tenaga. Sementara itu, ketika bersahur adalah lebih baik makan makanan yang lambat hadam iaitu bijirin seperti oats, gandum dan lain-lain kerana makanan jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk diproses iaitu, lapan jam. Justeru, ianya dapat membekalkan tenaga dengan lebih lama.
WALAUPUN hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri, pelbagai persoalan masih disuarakan oleh teman bukan Islam yang bimbang saya kelaparan kerana berpuasa.
Ada yang berkata, ‘tak mati ke tak makan apa-apa dalam sehari?’ Saya katakan kita ada masa berpuasa, ada masa berbuka dalam sehari. Ada juga yang bertanya, ‘takkan tak makan apa-apa, minum pun tidak?’ Saya katakan tidak, tetapi kami boleh makan apa saja bila berbuka nanti, tiada sekatan terhadap jenis makanan, selagi ia halal.
Banyak tulisan menerangkan mengenai kebaikan berpuasa dalam Islam. Di kesempatan ini, mari kita lihat pula sejauh mana berpuasa dapat meningkatkan kesihatan daripada sudut pandangan perubatan. Saya bawakan beberapa pandangan perubatan yang menyokong ibadat berpuasa ini dengan fakta saintifik.
Menurut Dr Ben Kim, pengamal perubatan berasaskan herba dari Kanada, berpuasa untuk tujuan perubatan sudah lama diamalkan. Malah, ahli falsafah terkenal seperti Socrates dan Plato juga mencadangkan puasa untuk tujuan memulih dan meningkatkan kesihatan badan. Mahatma Gandhi sendiri dikatakan berpuasa selama 21 hari sebagai usaha meningkatkan rasa hormat antara warga berlainan agama di India.
Namun, sehingga hari ini amalan berpuasa lebih banyak dikaitkan sebagai ‘ritual’ agama saja, misalnya berpuasa pada bulan Ramadan oleh umat Islam. Nyata perkembangan perubatan moden dapat melihat kebaikan berpuasa dengan sokongan fakta saintifik. Kajian terhadap ilmu fisiologi mendapati amalan berpuasa mempunyai kuasa pemulihan yang hebat, kesan daripada aktiviti berpuasa tadi.
Elson Haas seorang doktor kesihatan dalam bukunya bertajuk Tetap sihat dengan Nutrisi: Panduan Lengkap untuk Diet dan Perubatan Nutrisi menyatakan bahawa berpuasa adalah antara terapi semula jadi yang terhebat. Haas juga percaya berpuasa adalah satu kaedah bukan hanya untuk terapi diri, malah untuk masalah perubatan yang lain serta merangkumi masalah kehidupan lebih kompleks.
Turut dinyatakan kebaikan berpuasa adalah untuk detoksifikasi atau penyahtoksin. Pembersihan diri ini adalah satu daripada trilogi nutrisi amat penting terhadap badan manusia, selain menyeimbangkan keperluan dalam badan dan membina badan sihat. Haas percaya berpuasa adalah satu daripada ‘hubungan yang hilang’ dalam diet masyarakat Barat.
Kebanyakan masyarakat di Barat dikatakan terlebih makan, makan terlalu kerap, makan makanan yang mengandungi protein yang tinggi, selain tinggi lemak serta mencerna makanan lebih daripada yang diperlukan badan.
Statistik menunjukkan masyarakat Barat di UK amnya bukanlah tergolong dalam masyarakat yang sihat. Misalnya, Diabetes UK satu organisasi terbesar di UK yang membantu mereka menghidap diabetes, berkempen serta menjalankan kajian mengenai penyakit ini, menganggarkan lebih empat juta warga Britain akan menghidap diabetes menjelang 2025. Diabetes UK juga mendapati peningkatan 46 peratus yang akan berlaku adalah kesan daripada diet dan gaya hidup tidak sihat.
Menariknya, berpuasa yang disarankan doktor perubatan di Barat mempunyai persamaan dengan apa yang diamalkan umat Islam. Misalnya, antara saranan berpuasa untuk kesihatan adalah menjalankan puasa dalam tempoh singkat untuk membantu membersihkan dalaman badan.
Puasa singkat yang dilakukan dalam beberapa bulan setahun membantu membersihkan dalaman badan. Perbezaannya ialah puasa bentuk moden yang dicadangkan, mencadangkan puasa dimulakan selama 24 jam, kemudian dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Menurut Dr Ben Kim, jangka waktu berpuasa adalah bebas, tetapi bergantung kepada matlamat masing-masing.
Misalnya, jika kita bermatlamat untuk pulih daripada sakit akut, maka kita boleh berpuasa sehingga berasakan cukup sihat untuk makan semula. Untuk sakit kronik pula, jangka masa berpuasa ditentukan oleh kemajuan puasa itu sendiri.
Ini memandangkan proses pembaikan diri dalam tempoh ini boleh dijangka. Ketika berpuasa, tahap kolesterol dan asid urik dalam darah akan meningkat, namun selepas berpuasa tahap ini akan menurun yang menunjukkan sistem badan semakin bersih.
Selain itu, ada juga kajian yang menyarankan puasa daripada segala bentuk makanan, tetapi amalkan minum jus buah-buahan saja. Puasa bentuk ini dikatakan dapat menyahtoksin badan, selain baik untuk mengurangkan berat badan.
Namun, perbezaan ini menjadikan ibadat berpuasa oleh umat Islam semakin unik. Kita disarankan berpuasa dan tidak boleh tidak. Tanpa perlu mengingkari, kita sudah setapak maju ke arah kesihatan diri.
Lebih menarik, kajian perubatan Barat juga menunjukkan ada jenis penyakit yang boleh dikurangkan menerusi amalan berpuasa. Misalnya, demam, bronkitis, sakit kepala, sembelit, sakit perut, alergi terhadap sesetengah makanan, asma, insomnia, masalah kulit, kencing manis, keletihan, kegemukan, kanser dan sawan babi (epilepsi).
Manfaat puasa pula berdasarkan banyak kajian mencakupi meningkatkan tenaga, memperbaiki tidur, rasa lebih tenang, merehatkan sistem pencernaan, mengurangkan kesan penuaan, memperbaiki penglihatan dan pancaindera, memperbaiki pendengaran, meningkatkan kreativiti, serta penyahtoksin yang membawa kepada perubahan sikap kepada yang lebih baik kerana kurangnya toksin dalam badan.
Nyata amalan berpuasa bukanlah amalan yang melaparkan atau hanya wajib dijalankan umat Islam. Sungguhpun tiada kewajipan kepada bangsa lain untuk berpuasa, fakta saintifik menunjukkan bahawa puasa baik untuk kesihatan serta pemulihan dan pembersihan dalam badan.
Semoga fakta saintifik ini membantu kita menjawab persoalan seperti yang saya utarakan awal tadi, bahawa puasa yang konsisten dalam setahun adalah satu cara semula jadi terhebat untuk kesihatan berpanjangan. Selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
No comments
Post a Comment