Pendedahan! Serbuan Gereja DU, rancangan Umno takutkan Melayu

http://bm.malaysia-chronicle.com/media/k2/items/cache/9417fd81633818a071fffb03f0c00d55_S.jpg

Nampaknya musim politik perkauman dan agama telah bermula. Perdana Menteri Najib Razak telah memberikan kebenaran rasminya. Ini kerana partinya Umno mahu menarik sokongan para pengundi Melayu menjelang pilihanraya umum yang dijangkakan bakal berlangsung di antara bulan Oktober-November ini.

Pihak berkuasa agama dan polis di Selangor, menyerbu sebuah majlis makan malam berbilang kaum yang diadakan di bangunan Dream Centre, yang juga menempatkan Gereja Methodist Damansara Utama. Ia berasaskan kepada aduan yang samar-samar bentuknya. Bangunan tersebut mempunyai banyak acara makan malam dan bilik-bilik seminar, selain daripada hanya dewan gereja. Diketahui umum, Najib sedang berhadapan dengan tekanan yang amat berat untuk merampas semula negeri Selangor.

Menurut laporan berita, kira-kira 30 orang pegawai penguatkuasa JAIS menyerbu masuk tanpa amaran ke gereja tersebut pada jam 10 malam tadi. Kebiadapan tingkah laku mereka yang bertentangan dengan undang-undang mengejutkan ramai rakyat Malaysia apabila mereka membaca berita tersebut pada pagi hari Khamis ini.

"Tindakan terburu-buru sebegitu tidak dialu-alukan dan sepatutnya sekarang ini semua orang telah tahu perkara ini. Hakikatnya, rakyat Malaysia tertanya-tanya kenapa Perdana Menteri tidak diberikan nasihat terhadap isu ini kerana dia baru saja pulang dari Vatican. Pastinya, para penganut Kristian di Malaysia mahu tahu, setelah menjalinkan hubungan dengan Gereja Vatican, apakah pula status para penganut Kristian di sini? Dan ianya merupakan suatu hal yang hanya dapat diberitahu Najib kepada semua,” bekas presiden Transparency International, Ramon Navaratnam memberitahu Malaysia Chronicle.

Banyak lagi usaha buat Melayu ketakutan dan paranoia

Tetapi Najib ialah ketua Umno Selangor dan dia telah berikrar untuk merampas kembali kerajaan negeri dengan apa jua cara sekalipun. Maklum balas tertumpu tentang kenapa penganut Kristian yang menjadi sasaran. Namun, ramai penganalisis politik percaya Najib juga perlu melihat dengan teliti, jika terdapat sebarang maklum balas daripada umat Islam.

“Kelihatannya seperti serangan terhadap penganut Kristian tetapi barangkali niat sebenarnya untuk mendapatkan sokongan penganut Islam di Selangor untuk menyetujui tindakan sebegini. Jika penganut Islam Selangor menyokong tindakan kasar ini, maka Najib merasakan ianya wajar meskipun tindakan sebegini yang meniupkan kebencian terhadap agama lain adalah berdosa. Jika para penganut Islam bosan dengan segala tingkah laku gilanya. Ia akan menjadi seperti serampang dua mata yang memakan dirinya sendiri,” jelas pemimpin PAS Hatta Ramli kepada Malaysia Chronicle.

Menurut paderi kanan Gereja Methodist Damansara Utama Dr. Daniel HO, sebuah NGO bernama Komuniti Harapan telah menganjurkan acara kesyukuran makan malam tahunan di bangunan gereja tersebut, yang menyaksikan kehadiran kira-kira 100 ke 120 orang tetamu berbilang kaum.

“Sebahagian besar tetamu merupakan penganut Kristian...terdapat kira-kira 15 orang Melayu. Pihak polis datang dengan alasan terdapat aduan dan memberitahu ada orang membuat aduan,” kata Ho sepertimana dilaporkan sebuah laman berita. Menurut Ho lagi, tidak dinyatakan pula apakah kandungan aduan tersebut.

Banyak lagi

Para pemimpin Pakatan Rakyat mengutuk tindakan keras tersebut, namun mereka menjangkakan akan lebih banyak lagi kejadian seperti ini yang akan terjadi, menjelang tarikh pilihanraya umum yang semakin hampir. Barangkali pada 11 November, yang dikatakan sebagai nombor pilihan atau nombor ber’tuah’ Najib.

“Ia lebih daripada sekadar hanya menjadi keterlaluan. Ini adalah permulaan suatu usaha terancang untuk menjadikan orang-orang Melayu terkejut, paranoid dan takut kepada orang-orang Cina, Yahudi dan Kristian. Apa yang Umno mahukan adalah undi orang-orang Melayu dan India. Jadi mereka akan mainkan muslihat kebencian ini, kita tidak pasti sejauh mana mereka akan pergi tetapi saya fikir kita semua mesti bersedia dan berhati-hati,” Naib Presiden PKR Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.

- Malaysia Chronicle

No comments

Powered by Blogger.