Pertukaran Saham Bukan Penyelesaian Terbaik Bagi Entiti Strategik Negara



KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Penjualan dan pertukaran saham bukan penyelesaian terbaik bagi perkembangan sesebuah entiti strategik negara, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Syed Ali Al Attas

Katanya DPMM melahirkan kebimbangan ia akan menjadi satu trend penyelesaian selepas ini bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

"Kami memandang berat urus niaga sebegini di mana saham-saham pegangan kerajaan yang mewakili rakyat keseluruhan akhirnya akan terhakis kepada pihak luar," katanya kepada media sebagai respon DPMM terhadap urus niaga pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia baru-baru ini.

Katanya, MAS yang merupakan "flag carrier" bagi negara dan rakyat Malaysia, mempunyai "nilai yang lebih tinggi" malah melebihi nilai pasaran.

Pertukaran saham tempoh hari adalah berdasarkan pada harga dagangan kedua-dua syarikat penerbangan itu pada Aug 5 iaitu RM3.95 bagi AirAsia dan RM1.60 bagi MAS.

Pertukaran itu menyaksikan Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham AirAsia memegang 20.5 peratus di dalam syarikat penerbangan nasional itu dan Khazanah Nasional, pemegang saham MAS memegang 10 peratus di dalam syarikat penerbangan tambang murah itu.

Sebaliknya, Syed Ali berkata pertukaran pengurusan sepatutnya menjadi penyelesaian utama bagi memastikan sesebuah entiti strategik kerajaan terus berkembang.

"Kita mempunyai ramai cerdik pandai di luar sana yang boleh menakhoda MAS. Kita juga mempunyai ramai cerdik pandai untuk mendapatkan pandangan sebelum keputusan sebegini dibuat," katanya.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.