Pertukaran saham MAS-AirAsia wujudkan monopoli – Anwar



KUALA LUMPUR: Pertukaran saham di antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia membangkitkan kerisauan serius tentang penguasaan AirAsia dan kemungkinan berlaku monopoli ke atas industri penerbangan tanahair.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu mungkin membawa kepada monopoli kerana ia membabitkan monopoli dan juga broker kuasa politik.

“Malah, penglibatan Pengerusi AirAsia, Tony Fernandes dan penamanya dalam lembaga pengarah MAS turut menimbulkan konflik kepentingan walaupun beliau memegang jawatan bukan eksekutif,” kata Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tony Fernandes dan syarikatnya, Tune Air Sdn Bhd semalam menukarkan 10 peratus kepentingan saham dalam AirAsia dengan 20.5 peratus saham dalam MAS.

Menurut Anwar, pertukaran saham itu amat jelas menyalahi peraturan urus tadbir korporat dan tidak patut dibiarkan berlaku.

Ia juga menimbulkan persoalan terhadap nasib program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan meriah menggunakan wang rakyat.

“Adakah kerajaan sekarang mengakui pemulihan MAS yang dikatakan berjaya sebelum ini adalah satu ‘pertunjukan’ semata-mata?

“Najib perlu dipertanggungjawabkan kerana mengelirukan rakyat tentang ini,” kata Anwar.

Urusniaga itu juga, kata Anwar, membangkitkan isu ketelusan kerana ia dilakukan dengan penuh kerahsiaan.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Sekuriti perlu menyiasat kemungkinan berlakunya urusniaga dalaman membabitkan saham kedua-dua entiti ini,” kata Anwar.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut melahirkan kerisauannya tentang urusniaga itu yang akan menguntungkan pihak minoriti tetapi merugikan pihak majoriti.

“Saya risau urusniaga ini menguntungkan pihak minoriti dan mengorbankan pihak majoriti, iaitu pekerja MAS yang berkhidmat dengan penerbangan nasional kita dengan berdedikasi dan setia walau pun diberikan pilihan yang teruk dan tidak mendapat bonus selama bertahun-tahun,” kata Anwar.

No comments

Powered by Blogger.