RM100 untuk dua biji kurma?
Oleh ABDUL JALIL ALI
APAKAH berbaloi bayar RM100 hanya untuk dua biji kurma dan segelas air suam? Saya ditanyakan soalan ini oleh seorang kawan yang sama-sama berbuka puasa di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur,baru ini
Secara peribadi rasanya amat berbaloi. Sebab hidangan secara bufet itu saya nikmati sepenuhnya.Mula-mula ambil nasi tomato dan paha ayam goreng. Kemudian ambil nasi putih sedikit, makan dengan ikan kari, sambal udang, dan ulam.
Tidak cukup dengan itu, saya meratah dua ekor ketam goreng, dua kali tambah kambing panggang, dan lima enam cucuk sate. Itu tidak termasuk pengat pisang, kuih koci, dan buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.
Kalau campur empat lima gelas sirap bandung, tiga empat biji kurma – dia orang kata kurma nabi! – dan pelayan hotel yang tidak putus-putus senyum menundukkan kepala sambil berkata ‘Sir!’ setiap kali berselisih, rasanya berbaloi sangat berbuka hari ketiga Ramadan itu.
Kawan yang bertanya itu pun apa kurangnya. Walaupun tidak berpuasa sebab bukan Islam, dia makan lebih banyak daripada saya. Kalau guna istilah orang kampung, atau bahasa pasar, boleh kata semua yang terhidang itu ‘dibelasahnya’ cukup-cukup. Maklumlah hanya kunyah dan telan, dan tidak perlu bayar walau setengah sen.
Ada pun yang makan hanya kurma dan minum air suam ialah orang yang membayar majlis dihadiri oleh kira-kira 20 orang wartawan itu. Dia seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, dan saya tidak pernah ketinggalan dalam senarai undangannya setiap bulan puasa.
Dia tidak boleh makan banyak, kena betul-betul kawal diet. Dua biji kurma dan air suam juga sedikit nasi dan sayuran sudah memadai buatnya. Dengan macam-macam penyakit yang dihidapi – antaranya kencing manis dan obesiti – doktor menasihatkan (sebenarnya memberi amaran!) dia tidak boleh makan mengikut selera.
Apa yang dimakan itu, sekiranya di gerai Bazar Ramadan, nilainya tidak sampai RM10. Kalau di gerai tepi jalan Kampung Medan mungkin hanya RM5. Sebab itu ‘si kaki belasah’ itu bertanya, berbaloi atau tidak?
Sebenarnya menjadi amalan biasa bagi sesetengah orang di KL untuk berbuka puasa di hotel-hotel mewah. Iklan mengenai pakej buka puasa telah diuar-uarkan menerusi akhbar, TV, poster dan risalah yang dihantar ke rumah, sejak anak bulan Ramadan masih jauh dalam perut.
Ada beratus hidangan – tradisional Melayu, ala barat, ala Arab, dan ala-ala lain yang pelik-pelik – semuanya lazat-lazat. Harga paling murah RM50 seorang, paling mahal boleh mencecah hingga RM150.
Sebenarnya soalan rakan saya itu ditanyakan juga oleh banyak orang. Ramai menganggap berjamu di hotel besar itu sebagai satu pembaziran. Makanan yang sepatutnya RM10 dibayar 10 kali ganda. Selalu pula disebut membazir itu sahabat iblis.
Dan, selalu ada sindiran bahawa bukankah lebih baik sekiranya duit itu disedekahkan untuk belanja berbuka anak-anak yatim? Malah, ada yang membuat dosa kering dengan berkata: “Belanja ribu-ribu di hotel, belum tentu bayar zakat!”
Jangan prejudis pada orang kaya. Sekiranya dia betul ada RM juta-juta-juta, rasanya tidak ada salahnya untuk dia menjamu rakan-rakan yang berpuasa. Bukankah – seperti yang dijelaskan dalam hadis – besar pahalanya memberi makan kepada orang berpuasa?
Kalau semua yang datang bufet itu menikmati hidangan hingga puas, tidak timbul soal membazir. Sebaliknya, kalau beli banyak makanan di Bazar Ramadan tetapi tidak habis, dan dibuang dalam tong sampah, itu baru membazir.
Mengenai derma kepada anak yatim, siapa tahu jika dia sudah banyak menderma. Dia tidak perlu menyatakan itu kepada umum.
Sebenarnya ramai orang kaya menderma secara senyap-senyap, dan tidak gah memegang ‘mock’ cek sebesar sejadah untuk masuk surat khabar.
Demikian juga mengenai zakat, apakah dia perlu menghebohkan satu Malaya bahawa dia telah melangsaikan rukun Islam itu?
Dia tidak perlu menampal resit membayar zakat itu pada dahi atau dadanya. Beramallah dengan ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Apa yang penting dengan berbelanja di hotel, orang-orang berduit ini turut menyumbang kepada pertumbuhan industri perhotelan. Sekurang-kurangnya orang tidak berduit seperti saya dapat juga menjamu selera di hotel mewah.
Saya doakan mereka yang mengajak berbuka itu akan terus dimurahkan rezeki, dan dapat belanja saya lagi tahun depan!
No comments
Post a Comment