Tanpa rasuah, Pulau Pinang pesat membangun
Komentar Roketkini
12 OGOS – Rencana majalah antarabangsa The Economist yang terbaru mengenai Pulau Pinang dimulakan dengan ayat yang begitu teruja sekali – “jika anda akan mengalami serangan sakit jantung, biarlah ia berlaku di Pulau Pinang”!
Maksudnya jelas dan mudah. The Economist mahu berkongsi pengalaman dengan warga global mengenai Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang menyediakan perkhidmatan perubatan yang dianggap terbaik di negara ini.
Permintaan terhadap perkhidmatan pembedahan jantung di negeri itu telah meningkat dua kali ganda.
Sebab-sebab kejayaan gemilang itu juga jelas dan mudah. Perkhidmatan perubatan swasta di Pulau Pinang adalah murah dan semua hospital mempunyai kelengkapan yang setaraf dengan pusat-pusat perubatan di Barat.
Apa yang mahu disampaikan oleh The Economist adalah kepimpinan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang menerajui kerajaan Pakatan telah berjaya memulihkan semangat negeri yang telah merosot sejak lebih sedekad lalu.
Naik turun pembangunan negeri
Kejayaan asal Pulau Pinang pasca-Merdeka bermula apabila negeri itu berstatus pelabuhan bebas cukai atau zon perdagangan bebas yang telah berjaya menarik kemasukan pelabur-pelabur global yang besar seperti Intel dan Bosch dalam tahun-tahun 1970-an.
Kerajaan Pusat kemudian menarik balik status bebas cukai dan Pulau Mutiara terpaksa bergantung kepada zon kilang-kilang yang kebanyakannya menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja tidak mahir.
Pentadbiran Barisan Nasional melalui teraju Gerakan tetapi dikawal oleh UMNO gagal membangunkan Pulau Pinang secara berkesan. Walau pun kemajuan fizikal masih hebat speanjang 1980-an hingga akhir 1990-an, ia mengakibatkan keciciran di kalangan golongan miskin bandar dan penduduk luar bandar.
Menjelang alaf baru, Pulau Pinang seperti tak larat membangun. Warga negeri gelisah dengan keadaan itu, dan ditambah pula dengan kemelut politik BN yang turut diburukkan dengan kepimpinan cakap tak serupa bikin Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang juga anak negeri Pulau Pinang), penduduk Pulau Pinang mula mencari alternatif lain.
Tsunami politik 2008 mengakhiri pemerintahan BN. Guan Eng dan barisan kepimpinan Pakatan membuktikan tidak ada apa-apa masalah di Pulau Pinang yang boleh dijadikan alasan mengapa negeri itu tidak boleh dibangunkan semula.
Seimbang membangun
Dalam masa tiga tahun sahaja, pembangunan fizikal Pulau Pinang jelas terpampang. Untuk memastikan ada keseimbangan, kepesatan pembangunan ekonomi diselaraskan dengan sumbangan dan bantuan kerajaan negeri Pakatan untuk golongan yang dipinggirkan sebelum ini.
Selama lebih 50 tahun BN memerintah, ekonomi dan kebajikan orang Melayu sering diabaikan walau pun UMNO negeri lantang menjerit tentang masalah orang Melayu Pulau Pinang.
Selepas 2008, Pakatan Rakyat tidak perlu menjerit atau melalak. Dasar baru serta program bermanfaat dilaksanakan serta-merta. Semua kaum dari semua agama mendapat hak yang layak diperolehi.
Malah, kerajaan Pakatan telah membuktikan bahawa peniaga dan kontraktor Melayu mampu bersaing dengan kaum-kaum lain melalui amalan tender terbuka di bawah tata cara cekap, akauntabel dan telus (CAT).
Usahawan Melayu dan Bumiputera termasuk kaum India Muslim tidak lagi memerlukan kabel politik UMNO untuk memohon projek. Yang perlu ada hanya kelayakan, kepakaran dan kemahiran. Dan terbukti sudah ramai antara mereka penuh berkelayakan.
Pentadbiran Pakatan Pulau Pinang mendapat pujian Transparency International serta Ketua Audit Negara. Selari dengan pujian itu, datang pula pelaburan-pelaburan baru yang selama ini memencilkan diri dari Pulau Pinang sebelum 2008.
Rencana The Economist menonjolkan satu aspek yang penting apabila menyebut tentang pelaburan Altera, syarikat pereka bentuk chip computer dari Amerika Syarikat yang mempunyai 1,100 pekerja di Pulau Pinang; iaitu daripada jumlah pekerja itu, 800 adalah jurutera, dan kesemuanya warga Malaysia.
Ini bererti pelaburan dan industri di Pulau Pinang telah mencapai tahap pekerjaan mahir dan berteknologi tinggi. Pergantungan kepada buruh tidak mahir semakin berkurangan, dan ia membuktikan anak-anak Malaysia yang semakin berpendidikan tinggi layak menjawat status berkemahiran tinggi.
Kerajan Pusat perlu contohi dasar Pulau Pinang
Menurut rencana majalah antarabangsa yang berpusat di London itu, Guan Eng menjadi pemimpin pertama di Malaysia yang memperkenalkan tender terbuka yang bertujuan mereformasikan sistem BN yang telah melahirkan kronisme dan korupsi.
Malah, The Economist meramalkan bahawa jika sistem terbuka yang memberi saingan sihat di kalangan usahawan diamalkan di peringkat nasional, dasar-dasar itu dapat memberi transformasi kepada cara Kerajaan Pusat mengendalikan urusan.
Rencana itu turut memetik Guan Eng sebagai berkata, lebihan atau savings daripada sistem politik kabel BN yang telah dimansuhkannya itu membolehkan kerajaan negeri Pulau Pinang membelanjakannya untuk program-program sosial bagi membantu warga emas dan golongan miskin.
Menurut tulisan dalam rencana itu, dasar-dasar Guan Eng bukan sahaja popular, malah usahanya menghapuskan korupsi menggembirakan pelabur asing. Tidak mengejutkan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja telah menjadi petunjuk politik, malah ia juga adalah usaha pembangunan ekonomi yang patut dipelajari oleh semua pihak.
Tidak tahu pula sama ada kerajaan BN bersedia untuk menimbang dengan baik nasihat The Economist atau kekal dengan tabiat buruk untuk tapis atau censor kandungan majalah itu tentang kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment