Jangan sempitkan Islam dengan politik kaum – Oleh Abdul Manan Abd Razak
Kini kita digemparkan lagi dengan isu yang bertujuan memisahkan keakraban erat PAS-DAP-PKR oleh media Barisan Nasional yang sudah kehabisan modal politik. Sekali lagi, isu agama, isu gereja, isu yang sengaja dibangkitkan oleh meresahkan hubungan rakyat pelbagai kaum.
Namun realitinya ibarat BN cuma meludah ke langit. Sudah 54 tahun negara merdeka tetapi kemiskinan tegar khususnya di kalangan orang Melayu dan Bumiputera lainnya masih lagi tidak dapat diatasi sepenuhnya. Manakala kaum lain pyla semakin menghala ke arah kemiskinan akibat sistem ekonomi yang bocor dan kotor. Bukankah ini kesilapan BN yang tidak boleh dimaafkan?
Mengikut bancian Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk di negeri Selangor adalah melebihi 6 juta orang. Bukankah ini begitu membebankan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor untuk menanggung segala hal-hal kebajikan rakyat Selangor?
Kemanakah perginya tanggungjawab kerajaan BN selama ini yang memerintah Selangor selama 50 tahun dengan hasil mahsul dan kutipan cukai negeri terkaya di negara ini?
Rakyat menjalani kehidupan melarat dari hari ke hari ditambah dengan kenaikan kos hidup yang keterlaluan. Kerajaan negeri Pakatan telah berjaya mengurangkan bebanan rakyat dengan memberi air percuma dan pelbagai insentif ke arah merakyatkan ekonomi Selangor.
Namun tempoh tiga tahun setengah masih lagi awal untuk mencapai matlamat yang dituju sepenuhnya. Rakyat yang masih miskin mewarisi penderitaan mereka dari corak pemerintahan BN dahulu.
Untuk menutup kelemahan mereka, BN nampaknya cuba menangguk di air keruh dengan memainkan isu antara agama, dengan angkara jahat mahu melibatkan kerajaan Pakatan Selangor dengan isu peluk agama lain.
Isunya ialah sumbangan bantuan kepada orang miskin, termasuk Melayu Islam yang miskin yang tidak mendapat pembelaan UMNO dan BN.
Kini, disentuh perkara sensitif agama dengan kebajikan ikhlas pihak gereja yang bermurah hati memberi sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira agama. Bukankah ini perlu dicontohi oleh setiap pemimpin negara ini tanpa mengira kaum?
Ia adalah bantuan ikhlas. Orang Islam yang menerima bantuan itu tidak menukar agama atau telah memeluk agama Kristian. Mengapa ada pihak tergamak memutarbelitkan isu itu?
Islam tidak pernah melarang kita menerima apa-apa pemberian daripada kaum lain, sebagaimana ia tidak melarang orang Islam memberi sumbangan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira agama dan kaum. Islam mengajar kita kebaikan.
Oleh itu media BN sepatutnya tidak cuba merosakkan keharmonian ini dengan tujuan politik jahat. Anggaplah aktiviti memberi sumbangan ini sebagai peluang merapatkan hubungan kaum.
Jika kerajaan BN tidak mahu memberi bantuan kepada orang Islam yang miskin, mengapa mahu disalahkan jika warga Malaysia dari kaum dan agama lain yang mahu menolong umat Islam yang masih hidup dalam kemiskinan?
Malah lebih baik lagi, jadikan intitusi masjid sebagai pusat menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan agama. Ini bukan sahaja menepati fungsi masjid, malah menaikkan imej Islam di kalangan orang bukan Islam.
Jangan sempitkan Islam yang syumul dengan politik kepartian kaum BN yang sememangnya sempit dan jumud. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment