Tsu Koon Selar Amaran Ezam. Presiden Gerakan Bukan Lembik

Tsu Koon: Sikap Ezam ugut mahu bakar portal berita tidak boleh diterima

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini menyelar tindakan Senator Ezam Mohd Nor yang mengugut mahu membakar pejabat portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang beliau dakwa sebagai ejen pengkhianat Islam.

Tegas Koh, tindakan Ezam, bekas pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

Beliau juga berkata tindakan Ezam itu terlalu mengikut perasaan apabila mengulas tentang kontroversi “serbuan” ke atas Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu.

“Dalam amalan demoktrasi, Ezam mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dalam mempertahankan Islam dan juga melahirkan kebimbangan dengan kegiatan memurtadkan orang Islam yang kini sedang disiasat (Jais).

“Jika beliau mengatakan laporan portal berita ini salah, beliau perlu membahaskan secara jelas, sediakan fakta-fakta dan bukti yang kukuh atau ambil tindakan perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Koh menambah tindakan membuat ugutan sebegitu tidak menggambarkan sikap seorang senator yang sepatutnya memberikan contoh kepada rakyat.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga akan menjatuhkan imej Ezam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili beliau.

“Malangnya beliau telah menggunakan pengaruhnya untuk membantah dan membalasnya, beliau juga membenarkan dirinya dipengaruhi oleh emosi dan sentimen yang akan memberikan kesan negatif.

“Dengan menggunakan kenyataan bersifat ugutan, beliau bukan sahaja merosakkan imejnya selaku senator tapi juga pertubuhan yang diwakilinya,” katanya.

Semalam Ezam semasa perhimpunan aman berhubung isu murtad pertahankan JJais di pekarangan Masjid Negeri, Shah Alam melancarkan perang ke atas The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang didakwa beliau sebagai “ejen kepada pengkhianat Islam.”

“Kita sedia berperang dengan mereka... kita akan lancarkan perang habis-habisan jika mereka tidak hentikan dengan ejen mereka Malaysiakini, (The) Malaysian Insider yang biadap kepada Jais, kononnya mereka menceroboh masuk gereja.

“Kita beri anda amaran terakhir. Jika anda tidak hentikan sampah ini, kita akan bakar pejabat anda,” katanya.

Dalam ucapanya itu Ezam juga memberi amaran kepada kumpulan Kristian agar menghentikan kegiatan memurtadkan Umat Islam sekiranya tidak mahu berdepan dengan “perang.”

Kata Ezam, “masalah besar” akan berlaku sekiranya kumpulan Kristian meneruskan kerja-kerja memurtadkan umat Islam walaupun perkara itu tidak dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Koh, dengan semangat 1 Malaysia semua pemimpin termasuk Ezam perlu menunjukkan sikap yang tidak bertentangan dengan prinsip itu.

“Rakyat Malaysia tahu komitmen dan amalan kita, 1 Malaysia yang ditonjolkan sepatutnya menunjukkan komitmen dan perpaduan.

“Dengan semangat 1 Malaysia, setiap pemimpin perlu bercakap dan bertindak dengan berdasarkan tanggungjawab dan menyelesaikan segala salah faham, kontroversi atau konflik bukan menyemarakkan lagi kemarahan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.