Perlu tegur pemerintah bagi penambahbaikan

ArtikelOleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

ALAM ruangan Muhasabah kali ini, perbincangan tertumpu kepada pandangan Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam soal jawab islamonline.net keluaran 25 Julai llu berhubung isu penambahbaikan dalam negara melalui proses tegur-menegur, sejauh mana proses itu perlu dilakukan, bergantung kepada isu berbeza antara sebuah negara dengan negara lain, kerana ia tidak sama dari sudut iklim sosio budaya, politik dan ekonomi. Berikut penjelasan beliau yang dikira sebagai pemangkin kekuatan ummah.

Pendahuluan

Istilah mungkar meliputi aspek yang cukup luas khususnya dalam kancah politik, sedangkan perkataan mungkar itu pula merangkumi pelbagai kemungkaran yang melanda masyarakat, yang membuahkan natijah negatif, sesungguhnya dalam al-Quran dan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w banyak memperkatakan secara panjang lebar berhubung amaran Allah terhadap manusia yang berdiam diri dalam perkara mungkar.

Tegasnya, berdiam diri dalam perkara atau isu yang melibatkan kemungkaran adalah satu tindakan negatif apatah lagi melibatkan golongan pemerintah atau rakyat jelata yang boleh menggugat dan menggoncang iman golongan berkenaan, justeru Sirah Nabi Muhammad s.a.w. menjadi rujukan kepada isu berkenaan.

Adalah salah apabila masyarakat hanya memfokuskan kemungkaran pada perkara yang melibatkan perbuatan zina dan minum arak semata-mata, tanpa dilibatkan kemungkaran lain khususnya yang menyentuh persoalan pentadbiran negara yang boleh mendatangkan impak besar terhadap institusi pemerintahan yang dikuasai mereka yang bernama Islam.

Apatah lagi dalam perkembangan terbaru, khususnya pihak pembangkang telah membongkar rahsia penipuan pemerintah yang terus mahu berkuasa dengan melakukan penyelewengan terhadap daftar pemilih pengundi dengan beberapa penipuan jelas menunjukkan terdapat pengundi-pengundi asing (bukan warganegara) diberikan kad pengenalan bertujuan menjadi pengundi kepada pemerintah pada pilihan raya akan datang.

Persoalannya di sini, tidakkah tindakan itu dianggap sebagai mengkhianati negara dan juga boleh memporak-perandakan keselamatan negara?

Apakah sesuai pelakunya (yang memberi hak kewarganegaraan kepada pendatang luar) dimasukkan kepada penjara di bawah kesalahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

Dalam isu ini, adakah kakitangan JPN atau SPR perlu dipersalahkan atau di sebalik tabir ada dalangnya?

Perbuatan tersebut boleh dikategorikan sebagai mengkhianati negara dan rakyat jelata, ia akan menimbulkan rasa gusar dan tidak puas hati di kalangan banyak pihak, maka ia juga dianggap sebagai mungkar yang perlu dibuat perubahan.

Tanggungjawab semua pihak bagi merubah kemungkaran pemerintah Kemuliaan rakyat tidak boleh diabaikan atau dipandang remeh, apabila ia berlaku, maka yang melakukannya dianggap melakukan satu jenayah dan kemungkaran yang besar yang patut menerima akibat daripada perbuatannya itu, sama ada secara sedar ataupun tidak, kerana rakyat merupakan golongan yang mampu merubah segalanya.

Justeru, apabila pihak pemerintah/pemimpin negara melakukan penyelewengan dalam pilihan raya (walaupun ia bukan matlamat untuk berkuasa, namun ia masih boleh diterima kerana tidak melibatkan pertumpahan darah), asalkan mereka yang tidak bersetuju dengan penyelewengan itu sanggup bertanding untuk menyatakan kesediaan mereka memerintah negara bagi menggantikan pemerintah yang menyeleweng.

Ini kerana tegas Syeikh al- Qaradhawi, bagi mereka yang tidak menyertai pilihan raya sebagai wasilah untuk mendapatkan kuasa memerintah, dianggap sebagai orang yang telah melakukan kemungkaran, kerana apabila tidak menyertainya, kuasa tersebut akan dipikul oleh mereka yang tidak layak dan membiarkan kemungkaran akan terus berlaku.

Tidakkah kita mendengar di kebanyakan negara-negara yang ditadbir oleh pemerintah/ pemimpin beragama Islam, tetapi pada masa yang sama tidak menjalankan hukum-hukum Allah SWT dalam al-Quran, maka banyaklah penyelewengan seperti mengaut keuntungan dengan merompak wang negara untuk kepentingan peribadi, memonopoli harga barangan asas keperluan rakyat bagi kepentingan pihak tertentu.

Tidak cukup dengan itu, mereka menangkap rakyat tanpa bicara (takut akan terbongkar kesalahan mereka), menyeksa mereka tanpa belas kasihan dalam penjara, memberi serta menerima rasuah yang sudah menjadi perkara rutin biasa, ampu-mengampu pada perkara batil juga amalan biasa yang berleluasa di kalangan golongan pemerintah, menjadikan musuhmusuh Islam sebagai kawan setia, sedangkan mereka yang seagama dan senegara diabaikan peranan dan fungsi mereka, itu semua adalah mungkar segala mungkar yang patut diubah segera sebelum melarat menjadi virus yang tidak boleh lagi diselamatkan.

Persoalannya di sini, adakah seorang muslim yang berpegang teguh kepada ajaran agamanya sanggup berdiam diri tanpa melakukan sesuatu, maka bagi merubah kemungkaran yang telah disebutkan di atas walaupun sekadar keluar mengundi untuk memilih mereka yang lebih peka, prihatin dan bertanggungjawab kepada Islam telah menjalankan hak kewajipan agama?

Umat musnah apabila biarkan mungkar tanpa dirubah Apabila semua yang tertera di atas benar-benar berlaku dalam negara yang diperintah umat Islam, maka sesungguhnya akan lenyaplah roh mesej (risalah) Islam ke muka bumi ini dengan hilangnya kemuliaan umat Islam yang sebenarnya merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah kepada umat manusia sejagat, sepertimana yang diļ¬rmankan Allah melalui ayat 110 surah Ali Imran.

Justeru, tidak hairanlah apabila baginda Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada jenis umat Islam yang tidak ambil peduli penyelewengan yang berleluasa dalam negara menerusi sabdanya yang bermaksud: “Apabila kamu lihat umatku takut (terlalu menghormati) kepada golongan zalim lalu berkata kepada : Wahai orang zalim! Kamu ucapkanlah selamat tinggal kepada mereka (umat Islam). Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal dalam kitab musnadnya daripada Abdullah bin ‘Amru.

Selaku umat Islam yang mengaku beriman kepada keenamenam rukun iman, tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri di hadapan mungkar yang berlaku tanpa bertindak melakukan sesuatu bagi merubah kemungkaran tersebut dalam apa jua isu, sama ada kemungkaran atau penyelewengan dari sudut politik, ekonomi, kebudayaan atau kemasyarakatan.

Mereka hendaklah merubahnya dengan kuasa yang ada jika mampu melakukannya, jika tidak dengan lidah iaitu memberi peringatan atau nasihat, kalaupun tidak mampu ubahlah dengan hati iaitu berdoa sahaja, itulah selemahlemah iman, bagaimana pula jika tidak melakukan melalui ketiga-tiga cara yang disarankan baginda Rasulullah, sudah tentu seseorang Muslim dianggap tidak mempunyai iman dalam diri.

Walaupun jihad atau merubah kemungkaran dengan hati yang dianggap kedudukan yang paling rendah sekali di antara pendekatan yang lain, namun ia masih tergolong dalam usaha untuk merubah walaupun yang paling lemah, baginda Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang nabi sebelumku yang diutus oleh Allah, melainkan baginya golongan Hawariyyun (pembela dan penolong) yang mengikut perjalanan hidupnya, melaksanakan perintahnya, kemudian selepas itu berlaku penyelewengan, iaitu golongan yang pandai berkata-kata tetapi tidak buat apa yang dikatakannya, mereka bertindak apa yang tidak diperintahkan kepada mereka, sesiapa yang berjihad menentang mereka ini dengan kuasa yang ada padanya, dia adalah seorang yang benar-benar beriman, sesiapa yang menentangnya dengan lidahnya, dia juga adalah orang yang beriman dan sesiapa yang menentangnya setakat dengan berdoa sahaja sekalipun, dia masih dianggap seorang yang beriman, tidak ada selepas itu iman dalam hati manusia walaupun hanya sebesar biji sawi.”

No comments

Powered by Blogger.