Islam yang bagaimana boleh menentang Komunis?

http://farm7.static.flickr.com/6156/6194466024_6ae5d58036_z.jpg

Oleh : Abi Salma

Majalah : Suara Islam (Suara Rasmi Parti Islam SeMalaysia), Bilangan 4, 15 Sya’aban 1377 H / 6 Mac 1958

Penganjur-penganjur, pemimpin-pemimpin telah menjadi kebiasaan mereka untuk bercakap dan berkata : Bahawa Islamlah yang boleh menyelamatkan kita dari komunis.

Sebagai orang Islam sebenarnya kita akui dan kita cukup tahu bahawa perkataan itu memang benar. Tetapi untuk memahamkan akuan itu kita harus tahu pula Islam yang bagaimana yang boleh menentang faham komunisme yang sesat itu.

Adakah Islam dengan ayat-ayat Al-Quran semata-mata yang kehendak-kehenadak, perintah dan ajaran-ajarannya tidak diikuti atau adakah Islam dengan hadis-hadis Nabi yang tidak diisikan dengan amalan dan tidak diikuti dengan perbuatan. Atau adakah Islam yang membiarkan rakyat hidup menderita, lapar, sakit dan jahil ? Maka dengan Islam yang seperti ini orang-orang menepuk-nepuk dada dan melaung-laung bahawa Islam boleh menyelamatkan rakyat dari serangan komunis ?

Kemudian kalau kita menung-menung dan amati-amati lagi maka kita dapati pula orang-orang yang menepuk dada dan menaungkan keagungan Islam untuk menentang komunis itu – setengah-setengahnya – sewaktu mereka membuat laungan itu mulutnya masih dan sedang berbau arak atau merekalah juga yang sentiasa kelihatan berkeliaran di dalam park-park. Tetapi merka sebaliknya tidak tahu jalan untuk ke masjid. Kalaupun kadang-kadang kelihatan mereka ada bersembahyang tetapi ialah semata-mata untuk menambahkan pembohongan kepada Islamdan kepada Allah.

Islam memanglah benar boleh menyelamatkan penganut-penganut samada dalam hidup di dunia ini atau pun di akhirat dan boleh menyelamatkan daripada kemungkaran komunis iaitu bila ajaran-ajarannya diikut dan diamalkan dan dilaksanakan seluruhnya dengan benar-benar dan amanah.

Tetapi sekiranya didikan dan ajaran Islam dibuang dari sukatan pelajaran sekolah. Sekiranya undang-undang Islam dihapuskan dari lapangan perundangan negara. Sekiranya aturan pentadbiran harat benda secara Islam dicampakkan dari masyarakat. Sekiranya rancangan pembaikan masyarakat yang diarahkan Isam itu diserang. Dan sekiranya keseluruhan Islam itu diketepikan dari pemerintahan, arahan dan pemimpinnya… Kemudian dilaung dan diagung-agungkan bahawa ‘’Islamlah yang akan menyelamatkan kita daripada komunis’’, maka ini adalah suatu nifak yang terang-terang, olok-olok dan suatu jenaka layaknya.

Firman Tuhan, maksudnya: “Dan Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah dusta.”

Alim Ulama’

Apabila memperkatakan soal Islam adalah menafikan sejarah dan menafikan kenyataan sekiranya kita tidak memulangkan jasa-jasa yang besar perkembangan Islam di dalam bangsa kita itu kepada alim ulama’ tetapi seperti yang sedia dimaklumi oleh kita bahawa Islam adalah memerangi sebarang jenis kemungkaran dan kejahatan walau dari siapa dan golongan mana juga timbulnya. Yang demikian sekiranya alim ulama’ hanya mendiamkan diri di dalam melihat kemungkaran-kemungkaran itu atau sekiranya mereka hanya menentang kemungkaran dari seorang tetapi mendiamkan diri atas kemungkaran itu juga dari seorang atau golongan yang lain maka bolehkah dikatakan mereka tidak bertanggungjawab atas perbezaan-perbezaan dan pengoyakan ajaran Islam itu.

Bilakah kita boleh melihat seorang alim ulama’ itu akan menentang pencuri-pencuri harta rakyat. Pengkhianat-pengkhianat cita rakyat dan pemakan-pemakan suap kemudian dengan suara yang lantang – atas nama agama – memberitahu rakyat. Sekiranya ini diperbuat oleh alim ulama’ itu maka dengan serta merta dan pada ketika itu juga komunis akan mundur seribu batu kebelakang manakala Islam pula akan maju seribu batu kehadapan.

Tetapi kenyataan menunjukkan kepada kita bahawa apabila kita – termasuk alim ulama’ sendiri – telah lemah untuk memikul kewajipan agama yang sebenar ini maka kita pun berpaling menghadapi rakyat lalu menghamburkan kata-kata yang berupa nasihat-nasihat yang lunak dan lemak manis.

Katalah seorang telah memukul seorang yang lemah dan tak berupaya kemudian dirampas sesuatu yang ada pada si lemah tadi.... Si lemah ini memandang kekanan dan kekiri didapati ada dua orang... seorang komunis kafir manakala yang seorang lagi muslim lagi mukmin dari jenis mereka yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mahu buat atau tidak mahu bercakap sama sekali. Maka oleh komunis kafir tadi lalu membantah kekejaman itu serta menawarkan pertolongan manakal si muslim lagi mukmin itu meluaskan langkahnya dan dengan cepat meneruskan perjalanan sambil berkata “Oh susahlah!” Sekiranya demikianlah berlaku maka mengapakah kita tidak boleh menamakan muslim yang mukmin itu sebenarnya “Syaitan” – sebagaimana nabi Muhammad SAW telah menamakan demikian -? Dan tidakkah si penakut lagi pengecut yang lari daripada perjuangan kehormatan itu sebenarnya dialah orang yang mula-mula sekali menghulur tangan untuk menyambut komunis dan menyebabkan orang awam yang jahil memilih faham komunis?

Jadi untuk membenarkan dakwaan yang mengatakan Islamlah yang boleh menyelamatkan kita dari komunis itu hendaklah kita kembali kepada Islam yang sebenar-benarnya. Islam yang dibawa oleh Muhammad Bin Abullah bukannya Islam yang digembar-gemburkan oleh golongan politik yang bertujuan menguasai dan menunggang rakyat untuk muslihat politik dan kumpulannya padahal hakikatnya Islam entah dimana dan dia entah dimana!

(Dipadankan dari makolah: Tuan Muhammad Al-Ghazali Mesir)

No comments

Powered by Blogger.