Malaysia di bawah Barisan Nasional: Demokrasi kelas tiga? – Oleh Abdul Manan Abdul Razak

29 SEPTEMBER – Pentadbiran negara selama ini dimonopoli oleh Barisan Nasional yang nampaknya ingin memegang tampuk pemerintahan selama-lamanya. Rakyat dikawal dan dijerat agar tidak berdaya melawan dengan pelbagai cara.

Penindasan dan kezaliman dipraktikkan manakala pemimpin baru pula digula-gulakan dan diikat kaki supaya tidak ke mana-mana sehingga pembaharuan gagal dilaksanakan. Jenis demokrasi apakah ini?

Tidak hairanlah Malaysia diletakkan di tangga ke-89 dalam amalan demokrasi tulen. Sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan dicemari dan telah menjadikan Perdana Menteri terlalu berkuasa hinggakan institusi istana tidak langsung berkuasa kecuali dalam hal-ehwal agama Islam sahaja.

Cengkaman hak

Penggunaan pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) terbukti menggongkong rakyat daripada kebebasan.

Dalam masa yang sama juga kemajuan rakyat terbatas disebabkan keraguan dan perasaan takut untuk bersuara. Janji-janji perubahan hanya tinggal janji.

Pemimpin BN hanya menyanyikan lagu lama seperti DEB, MEB dan kini transformasi ekonomi.Apa yang dihasilkan hanya golongan berkuasa politik menambahkan kekayaan dan rakyat terus teraniaya secara tidak adil manakala sumber kekayaan negara diterokai secara rakus.

Subsidi kepada rakyat dianggap candu, namun subsidi kepada kroni dianggap keperluan. Dasar pengswastaan digubal dan terbukti menguntungkan kroni dan rakyat terus dihimpit dengan kenaikan kos hidup yang keterlaluan.

Suara keramat rakyat tidak sama sekali didengar secara jujur, malah pemimpin yang lantang bersuara untuk rakyat akan disenaraihitamkan untuk didakwa atau ditahan tanpa didakwa .

Rakyat dipisahkan dengan membezakan mengikut keturunan kaum.Ini ditambah lagi dengan dasar pecah dan perintah yang telah terbukti memisahkan hubungan harmoni antara kaum selama 54 tahun.

Perasaan tidak puas hati sebahagian besar rakyat yang tidak mendapat layanan secara adil dan saksama menyebabkan lebih 500,000 individu profesional berhijrah ke luar negara. Yang menyedih dan memalukan Malaysia adalah semua mereka ini berjaya dalam lapangan masing-masing di negara orang.

Salah urus ekonomi

Pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dianugerahkan kepada kenalan rapat tanpa mengambil-kira kredabiliti menyebabkan kebanyakan GLC kerugian, muflis dan salah urus kerana tidak ditadbir secara profesional. Rakyat melihat seolah-olah ada kekebalan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) kerana pendakwaan dikecualikan sama sekali ke atas mereka.

Projek mega diberi hak mutlak kepada Perdana Menteri daripada belanjawan negara untuk dianugerahkan kepada mana-mana syarikat atau individu yang disukainya. Bukankah ini mengundang kepada korupsi ? Mengapa tidak dijalankan sistem tender terbuka?

Ketirisan dan pembaziran ternyata tidak dapat dielakkan dengan cara ini yang berlanjutan selagi BN memerintah.

Campur tangan politik dalam sistem kehakiman, SPR, PDRM, ATM, SPRM, peguam negara serta sistem perbankan mahu pun jabatan dan agensi kerajaan turut mendatangkan bencana yang memperlekehkan demokrasi negara.

Malaysia dari kaca mata dunia dianggap tidak mengamalkan demokrasi yang sebenar. Bagi UMNO dan BN, demokrasi itu hanya pilihan raya setipa empat atau lima tahun sekali. Itu pun pilihan raya yang tidak adil, kotor dan tidak telus.

Kerap kali kecaman seperti kuku besi dilemparkan kepada pemimpin negara. Bukan sahaja oleh pemimpin antarabangsa, malah rakyat sudah nampak pekung BN. Namun mereka ini masih menegakkan benang basah.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu mendapat sanjungan masyarakat dunia walau pun telah diharamkan oleh kerajaan BN. Perlembagaan Persekutuan membenarkan perhimpunan aman, tetapi pihak berkuasa menggila menangkap rakyat yang memakai baju kuning.

Kini Datuk Ambiga Sreevanisan sebagai peneraju Bersih 2.0 disanjung oleh semua lapisan masyarakat termasuk warga global hinggakan BN menggigit jari.

Media massa seperti akhbar harian dan TV serta radio terus dikawal rapi sebagai alat propaganda BN sebagaimana yang biasa dilakukan oleh negara-negara komunis dan pemerintahan kuku besi. Hak bersuara rakyat diketepikan sama sekali.

Pembayar cukai hanya disajikan dengan irama 1Malaysia yang bukan sahaja membosankan tetapi menutup minda rakyat daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan korupsi yang sedang berlaku.

Demokrasi impian kita

Oleh itu demokrasi bagaimanakah yang diharapkan oleh rakyat keseluruhannya? Apakah tidak ingin kita melihat Malaysia yang maju seperti Jepun dan Korea Selatan yang hebat pembangunan ekonomi serta terbuka luas hak kebebasan dan amalan demokrasi? Lupakah kita pada suatu masa dahulu Malaysia jauh lebih hebat dalam segala segi berbanding Korea Selatan beberapa dekad lalu?

Malaysia yang diurus dengan cermat kekayaan sumber alamnya di mana rakyatnya disatukan hati sebagai satu bangsa yang dinamik dan maju serta adil, adalah impian demokrasi kita.

Impian itu tidak akan tercapai jika BN terus memerintah. Hanya dengan janji menghapuskan satu dua akta tetapi dicengkam amalan yang zalim dan menutup kebebasan, tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana. – Roketkini.com

1 comment

Unknown said...

apakah akan kekal sebuah kerajaan hingga seratus tahun? tidak. umno juga akan menghadapi masalah ini. banyak faktor yang menyebabkan umno akan luntur dengan sendirinya. tidak ada sebuah kerajaan yang kekal hingga ratus tahun, jika umno berangan begitu, mereka memang tidak baca sejarah. rakyat sebenarnya mengalu-alukan kepupusan umno, kelak ia jadi bahan sejarah, sebuah kerajaan yang melakukan banyak kezaliman cara melayu yang meluat. sejarah pasti akan ditulis, bukan acuan umno lagi, tapi acuan rakyat, mencatat sejarah yang benar, himpun bersih 2.0 juga perlu dicatat sebagai momentum pensejarahan negara seperti dalam wikipedia tu. sejarah bukan milik sarjana sejarah, bukan milik ramlah, zainal atau ketua jabtan sejarah, sejarah adalah milik pak mat nelayan, petani, pemotong sawit, tebang balak, kutip kertas, penganggur, dan sejarah akan mencatatkan pertambahan penduduk negara kerana mendapat MyKad secara gratis dengan iming-iming undilah Umno. jadi, sejarah ini akan mendedahkan pekung siapa melayu durjana yang sebenar.

Powered by Blogger.