Analisis Pendedahan Isu Pelantikan NC UPSI. Kabel Oh Kabel?

Analisis : Prof Dr Zakaria Kasa, NC tanpa kabel ?

Perlantikan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru, Prof Dr. Zakaria bin Kasa yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa merupakan suatu yang tidak dijangka oleh ramai pihak. Ramai mengakui kesungguhan dan komitmen beliau berada pada tahap yang membanggakan semasa menguruskan hal-hal berkaitan akademik dan antarabangsa meskipun terdapat beberapa kelemahan dalam beberapa perkara. Namun rekod menunjukkan beliau seorang yang kuat bekerja dan sentiasa memandang ke hadapan dalam membuat keputusan.

Namanya pada awal tidak begitu menyerlah di kalangan Timbalan-Timbalan Naib Canselor sama ada di UPSI mahupun dengan IPT lain. Seorang yang ‘low profile’, dan tidak begitu menunjukkan ke-TNC-annya dalam majlis-majlis di UPSI khususnya. Sedia menerima teguran dan rajin melayan kerenah mahasiswa.

Nama beliau mula menjadi sebutan apabila blog informasi UPSIkini memetik ucapannya yang menyentuh soal penempatan kira-kira dua tahun lalu. Katanya, penempatan pada tahun itu akan dibekukan berikutan kelembapan ekonomi negara pada ketika itu.

Isu penempatan ini memang isu sensitif di kalangan mahasiswa UPSI. Entah bagaimana, portal berita popular mutakhir ini, Malaysiakini pula tak semena-mena memetik berita itu dan mengambil respon daripada NUTP atas kenyataan beliau. Isu itu kemudiannya menjadi semakin hangat apabila akhbar-akhbar arus perdana turut membuat liputan dan mengambil kenyataan beliau.

Dengan nada yang agak tenang beliau membuat kenyataan balas mengatakan kenyataan awal beliau berkaitan isu tersebut telah disalah tafsir. UPSIkini pada ketika itu menjadi sangat popular kerana beritanya disiarkan dalam Malaysiakini dan mendapat kredit daripada portal berita itu. Rating UPSIkini juga melonjak dan dikenali seluruh negara terutamanya di kalangan mahasiswa. Sehingga pernah disekat daripada dilayari mahasiswa UPSI melalui jaringan wifi UPSI Jaring di kampus dan kolej-kolej kediaman.

Bermula dari itu, nama Prof Dr. Zakaria Kasa mula dikenali. Sebelum ini beliau di Universiti Putra Malaysia sebelum datang ke UPSI. Khabarnya pada awal beliau di UPSI, beliau sering sahaja menyebut untuk kembali ke UPM. Tetapi mungkin atas dasar dan sikap profesional beliau, tugas sebagai TNC A&A di UPSI diteruskan dan cuba membuat perubahan.

Nampaknya apa yang dikatakan beliau kira-kira 2 tahun lalu sudah menampakkan kebenarannya. Keluhan graduan pendidikan kini adalah bukti apa yang dikatakan beliau itu benar dan akan berlaku. Hari ini ribuan graduan pendidikan seluruh IPTA cuba meraih simpati dan tidak kurang yang cuba mengugut melalui undi supaya nasib mereka diambil peduli kerajaan. Beliau ada menyebut 2 tahun lalu, mahasiswa UPSI perlu bersediia untuk menerima kenyataan bahawa ruang kerjaya sebagai guru itu bukan lagi sesuatu yang boleh diberi jaminan, bukan lagi hak istimewa graduan UPSI dan persediaan perlu dibuat mulai sekarang. Dan sekarang, semuanya telah terbukti.

Itu halnya berkenaan Naib Canselor UPSI sekarang. Bagaimana jangkaan beliau dan mungkin juga ahli akademik lain di UPSI menjadi kenyataan.

Kini, Prof Dr Zakaria Kasa merupakan orang nombor satu dalam menentukan hala tuju UPSI. Beliau kini adalah Naib Canselor. Tugas berat yang perlu dipikul dalam memberi nafas baru kepada UPSI. Tidak cukup dengan hanya merombak fakulti yang sedia ada, menawarkan ijazah yang membuka ruang kepada pasaran terbuka, namun pengisian dan hasil dari setiap fakulti itu seharusnya juga diberi perhatian.

Ramai juga yang menyedari, beliau diangkat sebagai Naib Canselor bukan kerana kabel politik (tidak tahulah di sebaliknya). Namanya bukanlah segah Nordin Kardi yang telah berjual beli Ijazah Kedoktoran kepada rakan seBTNnya sehingga UUM itu dipandang hina di kalangan ahli akademik.Mungkin perlu penambahbaikan dalam modul BTN dengan menekankan aspek integriti. Tidak cukup rasanya dengan berdiri tegak pada waktu pagi apabila mendengar lagu Negaraku berkumandang. Yang peliknya, entah macam mana UPSI sedia menerima dia pula!!. Prof Dr Zakaria juga tidak sekilau Prof Dr Aminah Ayob yang sentiasa menggilap pemilik PERMATA Negara. Dan bukan juga selunak Si DDJ yang kemaruk berkaraoke, berjoget lambak, sehingga lupa dia kini berada di Malaysia(bukan Jakarta, Indonesia). Apatah lagi nak dibandingkan dengan ‘Residen’ Malaysia dari British, Hang Zainal Kling.

Siapa yang telah memberikan khidmat nasihat kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi untuk memberi kepercayaan kepada Prof Dr Zakaria Kasa menerajui UPSI?? Nantikan Siri ke-2..


Analisis : Prof Dr Zakaria Kasa, NC tanpa kabel ? (Siri 2)

Dalam perbincangan kedai kopi dengan beberapa kenalan, khabarnya nama Prof Dr Zakaria Kasa ini tidak diletakkan dalam senarai pendek sebagai calon Naib Canselor UPSI. Di pihak kementerian, UPSI disenaraikan sebagai IPTA yang harus diberi perhatian kerana mahasiswanya sejak akhir-akhir ini agak lantang melawan arus. Pilihan Raya kampus UPSI juga sudah menjadi bahan berita Utusan Melayu. Portal berita alternatifnya (UPSIkini) juga menunjukkan keberanian warganya mendedahkan isu yang berlaku di UPSI.

Sekiranya dibiarkan, mungkin UPSI ini akan melahirkan Ibrahim Yaakob alaf baru. Mungkin juga Mat Indera dengan imej baru. Atau mungkin Shamsiah Fakeh versi baru. Dan yang lebih menakutkan kalau-kalau lahir Dr Burhanuddin Al-Helmi, seorang intelektual yang sejarahnya sering diputar belit.

Di pihak sana pula,tidak nampak akan lahir seorang yang seperti Ibrahim Ali di UPSI ini. Nasionalis Melayu paling Melayu di alam Melayu abad ini. Atau setidak-tidaknya Bong Mokhtar. Lantang bersuara tapi tewas dengan belaian wanita. Tak ada. Yang ramainya nak jadi Saiful Bukhari. Bergambar dengan Menteri di sana sini. Kemudian menampalnya di laman sosial facebook, mengisytiharkan diri pemimpin mahasiswa yang memperjuangkan UPSI, kononnya!!

Itulah antara pertimbangan yang perlu diambil perhatian. Namun masih belum terjawab apakah atau siapakah yang telah memberi “green light” kepada Prof Dr. Zakaria Kasa untuk jawatan Naib Canselor? Apakah sudah dibuat penilaian yang tepat dengan meletakkan Prof Dr Zakaria Kasa (selepas ini disebut Prof Zack) akan dapat memulihkan imej UPSI?

Dalam pemerhatian penulis, Kementerian sudah meletakkan tanggungjawab itu ke atas Datuk Paduka Dr Junaidi (selepas ini disebut DDJ). Beliau dibawa kembali ke Malaysia dari Indonesia selepas dikatakan berjaya mengaktifkan Kelab UMNO Indonesia. Pengalaman beliau itu ditagih untuk mengUMNOnisasikan UPSI melalui Hal Ehwal Politik & Ampu (HEP&A) UPSI.

Ada juga cakap-cakap mengatakan DDJ ini memang besar kabelnya. Menteri-menteri itu ibarat rakan-rakan sekaraokenya sahaja. Berbeza dengan Prof Mohd Mustamam, TNC Penyelidikan & Inovasi UPSI yang sebelum ini. Juga punya kabel tapi semuanya bersaiz nano. Mungkin agak futuristik menggunakan kabel bersaiz nano tapi pasaran dan tahap kemajuan di Malaysia ini belum sampai lagi kepada teknologi tersebut. Sebab itu kadang-kadang tak berapa berkesan menggunakan kabel bersaiz nano ini. Mungkin bertahan 4 hingga 5 tahun sahaja.

Kembali kepada kisahnya pelantikan Prof Zack sebagai NC ini. Prof Zack rasanya agak terkejut juga apabila beliau dinamakan sebagai pemangku NC selepas tamatnya kontrak Prof Dr Aminah Ayob. Prof Dr Aminah juga terkejut yang kontrak beliau tidak disambung. PERMATA yang digilap selama ini tidak bercahaya pula pada tahun 2011 ini. Orang rumah Pak One itu macam sudah tidak memandang Prof Dr Aminah. Mungkin Prof Dr Aminah tak sertai rombongan ke Kazakhstan beberapa bulan lalu adalah puncanya. Mungkin juga atas nasihat Menteri Besar Perak, Dr Zambry yang melihat Prof Dr Aminah ini tak memberi manfaat kepada politik Perak.

Ada juga yang mengatakan antara sebab beliau tidak disambung adalah kerana kelam-kabutnya beliau dalam menguruskan orang-orang kanannya. Ramai tahu krisis beliau dengan Prof Dr. Mustamam, TNC P&I sebelum ini. Ramai juga tahu sikap dingin beliau dengan TNC HEP&A sebelum ini, Prof Dr Shaharudin Abd Aziz. Dan yang paling jelas, terdapat kumpulan-kumpulan tertentu di kalangan ahli akademik UPSI yang tidak bersetuju sejak awal perlantikannya dan sering tidak sehaluan dengan tindak-tanduk Prof Dr. Aminah ini. Maka setelah kesemuanya ditimbang, kementerian ambil keputusan, tamatkan kontrak beliau. Percayakah anda, DDJ juga berperanan dalam percaturan ini?? Nantikan siri seterusnya..

Penulis merupakan salah seorang warga UPSI yang cenderung menganalisis campur tangan politik dalam pentadbiran UPSI.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi UPSIkini

1 comment

Dunia Madani said...

saya pernah belajar dgnnya di UPM, seorang pensyarah yg bagus, berilmu dan berdedikasi, pandai main badminton walaupun ada kekurangan..

Powered by Blogger.