Mengapa Pakatan Rakyat diserang habis-habisan – Oleh Amaluddin Zhafir

27 SEPTEMBER – Sejak seminggu berturut-turut DAP teruk dihentam media kawalan Barisan Nasional, terutamanya lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia berkaitan hukum hudud yang UMNO sendiri telah menolak pelaksanaanya.

Dalam ruangan rencana Utusan semalam, perpaduan Pakatan Rakyat dikatakan tidak logik akal kerana kepelbagaian aliran fahaman dalam gabungan itu tidak mungkin boleh menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia.

Penulis yang menggunakan nama samaran Tok Ki merumuskan andaian itu kerana dilihat olehnya bahawa Pakatan (dalam isu hudud) sedang berada di persimpangan jalan.

Memang benar Pakatan Rakyat berada atas tiga jalan berasaskan prinsip dan ideology tiga parti – PAS, PKR dan DAP – yang kesemua jalan itu menuju kepada yang satu, iaitu kerperluan sebenar rakyat. Ini telah digariskan dalam Dasar Bersama dan dizahirkan dalam Buku Jingga.

Lain pula dengan BN yang mempunyai 13 parti komponen yang berbeza perjuangan dan ideologi. Malah kebanyakannya mengaku pelbagai kaum yang jelas bertentangan dengan parti-parti kaum seperti UMNO, MCA dan MIC.

Yang mengawal BN adalah UMNO. Apa yang dilontarkan dari mulut dan hati UMNO, itulah suara BN. Dan UMNO itu pula bermaksud kepimpinan UMNO; di peringkat akar umbi hanya boleh riuh sekampung tanpa dipedulikan pucuk pimpinan.

Apa istimewanya Pakatan

Berbanding dengan Pakatan, walau hanya mempunyai tiga parti komponen, suara setiap satunya lantang. Masing-masing berdiri atas prinsip dan tiada siapa menjadi tuan kepada yang lain.

Kerana itu, perbezaan pendapat diterima dengan terbuka, walau pun kadang-kadang lantang dan keras suara perdebatan. Tetapi ia atas prinsip keterbukaan, walau pun media kawalan BN yang tidak pernah faham erti demokrasi cuba menggambarkannya sebagai perpecahan.

Berbeza pendapat adalah amalan demokrasi di mana setiap parti mempunyai ruang dan peluang untuk bersuara, melontarkan pandangan berbeza. Apakah ini wujud dalam BN yang mana para pemimpin UMNO menjadi tuan?

Manipulasi media yang diperkuda oleh UMNO terutamanya dalam isu hudud jelas menunjukkan formula fitnah untuk pecah perintah, iaitu agar DAP bengang, PAS tak tentu arah, dan PKR kebingungan, kononnya.

Sudah tentu DAP menjadi sasaran utama. Bagi UMNO dan konco-konconya, DAP adalah parti Cina yang tak faham Melayu, tak faham Islam dan wajar digambarkan sebagai musuh orang Melayu.

Fitnah itu dihalalkan mereka semata-mata untuk memastikan orang Melayu tidak beralih sokongan kepada PAS dan PKR dalam pilihan raya umum akan datang.

Semua orang tahu bahawa keadaan politik semasa yang masih diselimuti kaum dan agama tidak “membenarkan” DAP bertanding di kawasan UMNO.

Kempen memomokkan DAP, Pakatan

Untuk memastikan UMNO mampu menolak cabaran PAS dan PKR dalam PRU ke-13, DAP perlu dimomokkan seburuk yang mungkin, walau pun para penyebar fitnah sedar bahawa fitnah itu dilarang dalam ajaran Islam, supaya pengundi dapat mengaitkan DAP dengan PAS dan PKR.

Dalam serangan media kawalan BN secara tanpa belas kasihan itu, tentunya ada seorang dua ahlinya melatah. Dalam apabila latah itu dibalas pula dengan latah kawan, ia menjadi modal UMNO-BN untuk memperluaskan sebaran berita palsu mereka.

Ini kerana UMNO-BN enggan menerima hakikat kebebasan, seperti kata-kata filosuf Voltaire, “Saya mungkin tidak setuju dengan apa yang anda katakan, tetapi saya akan bermati-matian pertahankan hak anda untuk berkata demikian.”

Latah Pakatan tidaklah kosong. Ia sering kembali ke meja rundingan juga. Semalam, para setiausaha agung dan wakil mereka sudah pun memulakan usaha. Esok pucuk pimpinan Pakatan pula akan menghalusinya lagi.

Berkongsi masalah sesama keluarga adalah perkara terbaik menghadapi ‘ancaman luar’ yang begitu rakus memainkan sentimen sensitif, terutamanya agama, bagi mendapat secalit tinta undi rakyat.

Dalam sidang media bersama semalam, Pakatan yang diterajui DAP, PAS dan PKR bersetuju untuk bersama-sama menangani kemelut ‘hudud’ yang dicetus UMNO-BN secara bermuafakat dan demokratik.

DAP mempunyai garis fahamannya iaitu demokrasi sosial, yang banyak persamaan dengan keadilan Islam yang dibawa oleh PAS, termasuk melalui gagasan negara berkebajikan, manakala idealisme PKR dicetuskan melalui keadilan sosial.

Memang ada perbezaan antara mereka, namun banyak pula persamaan yang memang selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat yang mahu keluar dari cengkaman UMNO-BN.

Menghadapi realiti sebenar

Rakyat Malaysia perlu bangun dari tidur dan lari dari ceramuk kata-kata auta BN, menggantikan permainan busuk dengan perkara yang lebih penting untuk rakyat.

Emosi dan sentimen yang dibangkitkan media kawalan BN tidak akan membantu rakyat keluar dari cengkaman ekonomi seharian.

Apakah latah melatah politik dapat menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti berapa banyak duit ada dalam poket, simpanan dalam bank, bagaimana mahu bayar bil, bayar cukai perkhidmatan, bayar cukai pendapatan, dan mungkin perlu dibayar cukai GST, atau adakah gaji akan dinaikkan, elaun ditambah, bonus diberi, atau sekadar di takok lama tetapi harga barang dan perkhidmatan semakin melambung?

Adakah hubungan harmoni antara kaum, bebas berbual dan makan bersama, tertawa dan senyum bersama, duduk berbincang hal-hal keluarga dan masyarakat; adakah semua ini mahu dihancurkan kerana isu-isu emosi yang cuba disebarkan oleh UMNO dan BN?

Baik buruknya sistem negara telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dalam banyak soal termasuk hubungan sosial, agama, budaya dan sebagainya. Apa-apa cubaan untuk merosakkannya, tidak memberi apa-apa faedah kepada individu dan masyarakat.

Dan dalam usaha itulah Pakatan, walau digoncang hebat musuh politik, masih teguh melangkah mempertahankan kepentingan rakyat, mengamalkan dialog terbuka untuk rakyat, dan memasang iltizam mengubah corak pemikiran lapuk rakyat yang selama ini dihantui BN.

Kepentingan rakyat Malaysialah yang sedang dan patut ditumpukan BN, bukannya tuduh menuduh yang membawa kepada kebencian, masalah perkauman, atau keciciran dari landasan gawat ekonomi.

Tetapi oleh kerana UMNO dan BN seperti sengaja mahu lari dari tanggungjawabnya, maka pilihan rakyat kini tertumpu kepada Pakatan.

Caranya jelas, iaitu menyemak kembali manifesto yang masuk dek akal, yang mana kebanyakannya ada di dalam Buku Jingga – hasil daripada penelitian masalah yang realistik yang dihadapi rakyat dan kemudian di bawa oleh Pakatan dengan perbincangan dan diskusi yang bersifat demokratik sesama komponen Pakatan, untuk kesemua rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, agama, atau wadah perjuangan yang mana satu.

Tidak mengapa jika BN meniru apa yang terkandung di dalam Buku Jingga itu asalkan ianya dilihat jujur oleh rakyat. Pakatan tidak kedekut idea, walau pun tidak diberi peruntukan beratus juta ringgit untuk mengupah konsultan media antarabangsa. Asalkan rakyat yang mendapat faedah, BN boleh meniru apa sahaja idea dari Pakatan.

Jujur atau tidak BN itu tidaklah sepenting mana. Yang penting ialah apa yang rakyat tuntut dapat diberikan dan dilaksanakan. – Roketkini.com

1 comment

Unknown said...

betul tu, utusan sebagai tali barut menggelupur mainkan isu bermacam-macam. nak ampu tuan dia, UBN. kalau rebah, mereka pun rebah, kena jilat kertas. utusan tak nampak buruknya MIC,MCA dan Gerakan, belum lagi parti-parti di Sabah/Sarawak. pening. sebenarnya bukan umno hebat sangat dan kontrol BN, para pemimpin dalam UBN hari ini lebih sayangkan fulus. kalau menentang arus nanti kena buang, suka tak suka ampu jugalah. sebenarnya utusan dah menggelabah, edarannya susut, sampai nak dijadikan bahan percuma kepada murid sekolah. utusan tak sesuai sebab penuh cerita seks. zaini pun menggelupur dia tuduh ada kakitangan gomen jadi orang DSAI. alahai kesiannya...

Powered by Blogger.