Najib patut terima sapina ke Mahkamah - Jangan takut, bersihkan nama

Dato Seri Najib patut pergi ke Mahkamah dan buktikan yang beliau tidak terlibat dalam konspirasi politik terhadap Anwar. Di kandang saksi itulah Dato Seri Najib dan isteri mengambil kesempatan keemasan untuk membuktikan yang suami isteri ini tidak bersalah dan terlibat dalam konspirasi terhadap Anwar sebagaimana yang dituduh oleh pihak Anwar itu.

Bagi kita di luar ini jangan sekali-kali menuduh yang Najib terlibat dengan konspirasi itu tetapi Najib perlulah membuktikan tuduhan terhadap beliau itu adalah tuduhan palsu. Jika tindakan untuk mengenepikan sapina terhadap beliau dan isteri itu maka akan wujud kecenderungan untuk orang ramai percaya terhadap tuduhan yang Najib dan isterinya terlibat dalam konspirasi itu.

Najib sepatutnya lebih dari rela untuk ke Mahkamah dan buktikan yang beliau tidak ada kena mengena dengan isu ini. Beliau seorang pemimpin utama negara maka kredibiliti beliau sebagai seorang yang bebas dari terlibat dengan isu ini merupakan perkara yang sangat penting untuk dipertahankan.

Bagi mana-mana pemimpin yang mengambil maruah dan kredibilitinya sebagai isu utama kepimpinan mereka, menjaga kredibitliti dan imej bersih itu adalah isu utama untuk dipertahankan. Najib tidak sepatutnya mengelak dari menghadziri diri di Mahkamah dan bersihkan nama beliau dari sebarang persepsi buruk itu.

Bak kata perbilangan ‘berani kerana benar, takut kerana salah’. Ini merupakan tuduhan yang berat terhadap Najib dan jika Najib tidak mahu menghadzirkan diri untuk menjadi saksi, maka jangan disalahkan orang ramai jika mereka termakan tuduhan yang Najib terlibat dengan konspirasi itu.

Anwar mungkin ke penjara tetapi jiwa Najib juga akan terpenjara dengan persepsi rakyat yang beliau terlibat dengan konspirasi itu. Seorang Perdana Menteri mesti bersih dari anggapan buruk itu. Jika seorang Perdana Menteri melekat dengan stigma buruk ini maka ia akan menjejaskan negara sebagai sebuah negara yang berdaulat yang dipimpin oleh seorang PM yang bermaruah.

Mungkin Anwar terpenjara dengan kesalahan jika benar seperti tuduhan pendakwaraya, tetapi Najib akan melekat dengan persepsi yang amat memalukan itu.

Justru Najib wajar merelakan diri beliau untuk ke Mahkamah agar imej beliau tidak terjejas dengan tuduhan Anwar terhadap beliau.

Apa salahnya jika beliau pergi ke Mahkamah dan menjadi saksi jika tidak terlibat? Bersihkan nama di Mahkamah. Takkanlah Najib tidak mahu membersihkan nama beliau.

Jika nama tidak bersih maka adalah sukar bagi beliau untuk menjadi seorang pemimpin yang effektif kepada nagara dan rakyat pimpinan beliau.

Mungkin kerana imej yang seperti inilah yang menyebabkan ramai rakyat khusunya ahli-ahli UMNO yang bercakap tentang konspirasi Muhyiddin untuk menjatuhkan Najib dari kepimpinan parti dan negara.

Ada beberapa pendapat yang jika benar tindakan Muhyiddin itu, itu merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi walaupun Muhyiddin itu sendiri belum lagi boleh dipastikan sebagai pemimpin gentian yang boleh memperbaiki keadaan UMNO dan kerajaan sekarang ini.

Jika Najib digantikan dengan orang lain yang sama lemahnya, ia akan hanya membawa porak peranda kepada parti terus terusan. Saya sarankan Muhyiddin tidak usah bertindak apa-apa untuk menundukan Najib selagi rakyat belum pasti yang Muhyiddin itu seorang gantian kepada penyandang sekarang yang lebih baik.

Sebenarnya tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan hari ini mampu menjaga UMNO dan negara. Semuanya 2x5 sahaja.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/09/najib-patut-terima-sapina-ke-mahkamah.html

No comments

Powered by Blogger.