Larangan pelajar berpolitik

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

BUKAN lagi suatu yang mengejutkan apabila Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dilaporkan memberi amaran kepada para penuntut di luar negara tajaan Kerajaan Negerinya agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik.

Kenyataannya minggu lalu itu bukanlah sesuatu yang pertama kali dibuatnya. Ia juga bukan lontaran yang asing bagi para pemimpin Umno, terutama apabila berucap pada majlis dihadiri para penuntut terbabit.

Walaupun pada zahirnya amaran Ahmad itu seakan memperlihatkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab beliau selaku ketua kerajaan untuk menjamin para pelajar dari negerinya tidak terganggu pembelajaran atau terjejas tumpuan terhadap pelajaran, ia sebenarnya lebih berhasrat menjaga kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam erti kata lain, ia bukan bermaksud menghalang penglibatan secara total manamana penuntut di dalam apa jua aktiviti bercorak politik atau dianjurkan mana-mana pertubuhan politik. Amaran itu sebenarnya disertakan pengecualian sekiranya mereka terlibat dengan politik yang menguntungkan Umno-BN.

Bukankah itu sikap hipokrit dan pendirian berat sebelah yang senantiasa menjadi amalan parti itu? Samalah juga dengan kes pertikaian fakta sejarah sebagaimana yang masih digema-riuhkan segenap saluran media dan alat propaganda pemerintah sejak hampir tiga minggu lalu.

Pemimpin PAS didakwa cuba mengubah sejarah, terutama berkaitan perjuangan kemerdekaan. Lalu sebilangan pemimpin dan penjuak Umno seakan sanggup bermati-matian mempertahankan fakta sejarah yang selama ini telah termaktub dan diterima sebagai benar.

Kenapa mereka begitu bersungguh mempertahankannya, walaupun diakui beberapa tokoh dan ilmuan bahawa terdapat kecacatan dan keciciran fakta dalam sejarah negara? Faktor utamanya ialah kerana sejarah yang diketahui ditulis oleh para pengkaji dan penulis Barat atau mereka yang terdidik dengan indoktrinasi pemikiran Barat itu telah memberikan imej dan pengiktirafan paling baik untuk Umno.

Ia seolah-olah menggambarkan hanya para pemimpin Umno pejuang sebenar kemerdekaan negara dan hanya parti itu paling layak diberi penghargaan di atas kejayaan memperolehi kebebasan daripada belenggu penjajahan.

Selaku ‘anak emas’ penjajah British, parti Melayu yang tidak memakai nama Melayu itu menikmati pelbagai keistimewaan sepanjang era penjajahan. Para pemimpinnya berjuang dalam senang dan diberi layanan sebaik termampu oleh penjajah.

Sedangkan pada masa sama, sebilangan individu pejuang kemerdekaan lain bukan sahaja ditekan, diburu, ditahan dan diseksa, malah pertubuhan yang mereka anggotai juga diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh British.

Secara logik pun manusia yang waras sudah dapat menilai, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena mengapa British mempamer- kan perbezaan sikap dan pendirian yang begitu ketara terhadap Umno berbanding kumpulankumpulan pejuang Melayu lain.

Rakyat tidak pernah didedahkan dengan apa-apa syarat dikenakan British kepada Umno sebagai kemestian yang perlu dipatuhi sekiranya mahu Tanah Melayu dimerdekakan.

Apakah munasabah British hanya angkut kain-baju dan melangkah keluar meninggalkan rumah dengan mempersilakan Umno mengambil alih tempatnya?

Semudah itukah suatu bangsa yang rakus dan tamak mengabaikan kepentingannya di tanah jajahannya? Atau, mungkinkah kerana British yakin ‘anak emas’nya yang bakal mengambil alih teraju negara ini sudah dipastikan bukan sahaja bakal meneruskan dasar dan peraturan dikehendakinya, tetapi juga budaya diajarnya. Mereka bukan setakat mengagungkan cara berpakaian dan bertutur ala- Barat, malah minuman rasmi sewaktu di bawah pemerintahan British turut dikekalkan.

Sejarah penyerahan secara bisik-bisik antara Umno dan British itulah yang tidak didedahkan. Apa yang ditulis dan diajarkan kepada anak bangsa hanyalah sisi positif dan muluk sahaja.

Barangkali Umno tersangat bimbang sekiranya fakta sejarah sebenar terbongkar dan diterima rakyat. Sebab itu sikapnya terhadap sebarang usaha mengkaji dan menulis semula sejarah negara agak keras. Umno takut kebaculannya yang tunduk kepada syarat menguntungkan penjajah ditelanjangi.

Sekiranya sejarah yang bakal ditulis semula itu akan tambah menguntungkan Umno, pada adatnya parti itu akan tampil dengan seribu satu hujah merasionalkannya.

Ketakutan sedemikianlah juga sebenarnya membelenggu para pemimpin Umno, termasuk Ahmad yang begitu beriya-iya melarang para penuntut melibatkan diri dalam aktiviti politik. Bahkan beliau memberi amaran keras akan menamatkan tajaan mana-mana pelajar terlibat dengan aktiviti politik yang memudaratkan.

Tidak sukar difahami amaran itu hanyalah agar mereka tidak terlibat dengan pembangkang, sekali gus mengancam kepentingan Umno-BN.

Buktinya, tidak pernah pula dilarang para penuntut bergiat aktif dan menghidupkan Kelab- Kelab Umno di luar negara. Tidak pula dipertikaikan tumpuan masa dan perbelanjaan mereka untuk politik yang mungkin menjejaskan pembelajaran.

Kumpulan aktivis Umno ini jangan dikatakan berkemungkinan ditamatkan tajaan pelajaran mereka, sebaliknya saban tahun wakil mereka dibiayai untuk menjadi jemputan khas ke perhimpun- an agung parti itu di ibu negara.

Itulah bukti hipokritnya para pemimpin Umno!

No comments

Powered by Blogger.