Gereja: PAS Selangor ucap tahniah pada Jais

Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 22 Sept: PAS Negeri Selangor hari ini mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana telah siap menyediakan dan menyerahkan laporan penuh berhubung pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berkata pada satu sidang media di Pejabat PAS Selangor Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Abd Rani Osman memberitahu satu pengumuman akan dilakukan oleh Khalid berhubung dengan laporan tersebut.

"Kami difahamkan Menteri Besar akan membuat beberapa pengumuman berhubung dengan laporan tersaebut selepas berbincang dengan Tuanku Sultan Selangor.

"Persoalan agama adaah satu perkara yang amat penting kepada seluruh rakyat Malaysia yang menganuti pelbagai agama. Selagi mana umat Islam dan institusi-institusi yang diamanahkan oleh Undang-undang Tubuh Negeri Selangor serta segala peraturannya berpegang teguh dan berterusan merujuk kepada kedua sumber ini, maka kami yakin prinsip-prinsip kebenaran keadilan dan kesaksamaan akan dapat terus dipertahan dan ditegakkan.

"Oleh itu kami mendukung penuh agar urusan hal-ehwal naungan Islam di negeri ini diurustadbir oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang berasa di bawah naungan Tuanku Sultan Selangor dengan perlaksanaan, khususnya pentadbiran masjid, surau dan sekolah-sekolah agama melalui Jais yang merupakan jabatan yang dibiayai sepenuhnya di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

"Mendukung hubungan baik diantara istana dan kerajaan negeri serta institusi-institusi Islam di negeri ini, PAS Selangor telah mengutuskan surat memohon perkenaan untuk mengadap Tuanku Sultan," jelasnya yang juga Adun Meru.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Shaari Sungib, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairudin Othman dan juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Negeri Selangor, Noraini Hussin.

Rani dalam masa yang sama menjelaskan pihaknya menolak keras sebarang usaha untuk memisahkan politik atau siasah daripada ajaran Islam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad juga memberitahu sepatutnya isu gereja ini tidak sepatutnya dimanipulasi sebelum menerima laporan daripada pihak Jais.

"Prinsip keadilan sepatutnya isu gereja tidak perlu dimanipulasi dengan pelbagai andaian mahupun dakwaan dan kita sepatutnya menunggu laporan dari Jais terlebih dahulu.

"Cuma keadaan sekarang kita khuatir ada pihak akan cuba memanaskan keadaan tersebut, umat Islam perlu bersabar dan melihat bukti serta laporan yang akan diumumkan oleh Khalid nanti," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kefahaman bahawa pemimpin masyarakat dipanggil sebagai ahli politik adalah kefahaman sempit yang bercanggah dengan prinsip kesyumulan Islam.

"Dalam Islam semua aktiviti seseorang mukmin dan mukminah adah ibadat demi mendapat keredhaan Allah. Dengan aktiviti seorang ahli politik dalam Islam adalah tidak lain dan tidak bukan bertujuan sebagai ibadah demi mencapai keredhaan Allah.

"Kefahaman bahawa ahli-ahli politik tidak dibenarkan bercakap tentang Islam adalah satu bentuk fahaman sekular yang didukung oleh Umno dalam mentadbir negara dan negeri Selangor selama ini," katanya lagi.

Merujuk kepada fahaman tersebut PAS Selangor menolak fahaman songsang yang diamalkan oleh Umno dan kesan daripada itu telah mewujudkan politik menakutkan rakyat sehingga mencetuskan kebencian antara kaum.

Jumpa Jais minggu depan

Dr Abd Rani juga mengesahan pihaknya akan bertemu dengan Jais minggu hadapan bagi membincangkan isu pentauliahan mengajar di negeri ini.

Beliau menjelaskan PAS sudah menghantar surat minggu lepas dan hanya menanti jawapan daripada pihak Jais.

"Berkenaan dengan isu pentauliahan pihak kami ingin mengadakan pertemuan dengan institusi tersebut pada 27 September nanti.

"Kita akan membincangkan segala isu mahupun persoalan yang menjadi tanda tanya terhadapan pentaulihan tersebut dan berharap akan mendapat jalan penyelesaian. Kita tahu tauliah ini diberikan hanya untuk mengelak daripada wujudnya ajaran sesat dan untuk makluman dalam PAS ramai pemimpin yang memperoleh sijil dalam agama Islam diiktiraf oleh antarabangsa.

"Maka untuk mengatakan wujud ajaran sesat yang disampaikan oleh pemimpin PAS adalah tidak benar," katanya.

Khalid pula memberitahu tidak pernah ada garis panduan yang dikenakan oleh Jais dalam memberi tauliah dan setiap individu yang ingin mengajar akan dipanggil temuduga.

"Untuk memohon tauliah mengajar di Selangor tidak pernah ada garis panduan ataupun kelayakan mereka yang memohon, malah sesiapa yang ingin mengajar akan dipanggil temuduga dan dari situ baru diketahui sama ada layak atau tidak.

"Berkenaan dengan menghalang ahli-ahli politik bercakap tentang agama di masjid mahupun surau ia adalah satu tindakan yang amat pelik kerana tempat tersebut adalah tempat untuk mendekati Islam.

"Tapi tempat awam dibenarkan, kita lihat perkara ini sudah menjadi satu yang tidak boleh diterima akal. Jadi saya berharap pertemuan nanti akan menemui jalan penyelesaian berkaitan isu pentauliahan," usul Khalid.

Sebelum itu isu pentaulihan ini telah menjadi tumpuan apabila kedua-dua pemimpin PAS Khalid dan juga Dr Rani yang telah ditarik balik oleh pihak Jais apabila didapati menyampaikan tazikrah di masjid pada bulan Ramadhan yang lepas sehinggakan pihak Jais telah mendakwa Khalid di Mahkamah Syariah kerana dakwaan tersebut.

No comments

Powered by Blogger.