Sharizat cermin diri dulu sebelum kritik Himpunan 901 - Zuraida
(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 5 Dis: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum mengeluar kritikan berhubung Himpunan Bebaskan Anwar, 9 Januari ini.
Zuraida menyifatkan Ketua Wanita Umno itu tidak layak memberi kenyataan sedemikian kerana keluarganya sendiri terpalit dengan kontroversi penyelewengan dana sebanyak RM250 juta oleh National Feedlot Corporation.
Beliau mengulas kenyataan Shahrizat yang menyatakan perhimpunan itu hanya membawa kekecohan dan menyokong perjuangan individu, malah meminta pihak polis mengambil tindakan.
“Sharizat tak perlulah memberi apa-apa kenyataan mengenai kempen 901 ini, kes nya pun tak habis lagi. Skandal NFC sebenarnya yang bersifat individu malah menipu duit rakyat," kata beliau kepada keadilandaily.
Ahli Parlimen Ampang menjelaskan kempen tersebut bertujuan memberikan sokongan dan mempertahankan pemimpin yang difitnah Umno- Barisan Nasional.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, keengganan Shahrizat meletakkan jawatan berhubung skandal NFC, mempamerkan sikap memalukan.
Malah katanya, kenyataan Shahrizat itu seolah-olah mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sehingga masih enggan mengambil sebarang tindakan.
"Tindakan Shahrizat masih lagi tidak mahu meletakkan jawatan dan kononnya menyerahkan Datuk Seri Najib Razak untuk buat keputusan sebenarnya hanya mencabar PM. Sehingga kini, Najib pun tidak berani buat keputusan," ujarnya.
No comments
Post a Comment