Anwar dijangka temu Nik Aziz Isnin ini

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi telah membincangkan pendirian Dewan Ulama Pas dan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu Israel-Palestin bulan lalu.

Dengan beberapa opsyen dikatakan telah diutarakan pada mesyuarat tersebut, Anwar dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi pagi ini manakala pertemuan dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, dijangka berlangsung Isnin ini.

Pagi ini, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dijadual menghadiri Program Sepagi Warga MPSJ Bersama Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

"Perkembangan semasa ini bukan agenda utama Biro Politik hari ini (semalam), tetapi kami ada membincangkan. Dimaklumkan, Datuk Seri Anwar akan mengeluarkan satu kenyataan, kemungkinan pagi esok (ini).

"Berkenaan dengan pertemuan Datuk Nik Aziz, dimaklumkan bahawa ia akan diadakan pada 20 Februari, itu tarikhnya setakat ini, melainkan jika ada perubahan nanti," kata seorang pemimpin kanan yang menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR, malam tadi.

Pemimpin itu tidak mahu memberikan butiran lanjut atas alasan syor-syor yang dibentangkan dijangka diperhalusi oleh Anwar sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.

PKR pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi terbaru selepas ia muncul akhir bulan lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Anwar dijangka mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air dari Thailand bagi menjelaskan kenyataan berhubung isu Israel-Palestin yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ).

Azmin berkata, pertemuan itu yang dijangka berlangsung selewatnya minggu ini perlu melihat kepada kelapangan masa Nik Aziz.

“Kami telah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan menghormati pandangan mereka. Walaupun Anwar kini berada di luar negara, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz bagi menjawab isu tersebut setelah pulang ke tanah air.

“Namun bila dan di mana pertemuan itu berlangsung bergantung pada surat dari pejabat Menteri Besar,” katanya.

Anwar dalam wawancaranya dengan WSJ dilaporkan berkata, beliau menyokong usaha menjaga keselamatan Israel.

Kenyataannya itu mengundang rasa tidak senang pelbagai pihak termasuk Majlis Syura Ulama Pas, awal minggu ini, yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel dan mahu Anwar menarik balik kenyataannya itu ataupun menyaman WSJ itu jika laporan berkenaan adalah tidak benar.

No comments

Powered by Blogger.