Azizan sayang semua Exco Kerajaan Negeri

Wartawan Sinar Harian

SEHARI selepas media mendedahkan spekulasi membabitkan dua anggota Exco Kerajaan Kedah yang didakwa menolak untuk dilantik semula bagi penggal 2012, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kepastian.

Namun pada sidang media yang diadakan sejurus beliau merasmikan Bazar Malam Sinar Sejahtera di Pekan Rabu, Alor Setar malam semalam, Azizan melayan setiap pertanyaan wartawan dengan tenang dan bersahaja. Ikuti respons beliau sidang media penuh pada malam itu.


Ada dakwaan mengatakan dua anggota Exco sudah menghantar surat menolak tawaran dilantik semula, benarkah?

Azizan: Kenapa pula mereka nak hantar surat, sebab saya belum hantar surat tawaran kepada mereka. Jika mereka mahu tolak tawaran dilantik sebagai Exco, mereka perlu tunggu surat tawaran dahulu, kemudian baru jawab.


Namun sejak semalam, spekulasi ini semakin heboh seolah ianya benar berlaku?

Azizan: Biasalah… spekulasi. Perkara itu mungkin betul, atau tidak. Saya pun tahu spekulasi ini wujud melalui akhbar, saya sendiri pun tak tahu.


Sejak spekulasi ini diperkatakan, adakah kedua-dua Exco terbabit berhubung dengan Datuk Seri?

Azizan: Nak berhubung apa? Mereka tak bagi tau apa-apa pun. Berhubung biasa la, sebab mereka Exco.


Isu ini membabitkan empat atau tiga Exco?

Azizan: Spekulasi ini media yang sebut. Kemungkinan betul atau tidak betul. Saya baru balik dari Kuala Lumpur dan Ahad ini mungkin ada perkembangan baru.


Jadi, benarlah rombakan akan dibuat?

Azizan: Sekarang saya tunggu pengesahan dari pejabat Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong. Saya sudah serah senarai nama Exco kepada Tuanku Abdul Halim. Mungkin baginda akan perkenan, atau tolak yang tu (Exco lama), dan bagi yang ni (Exco baru). Bila dapat surat, baru boleh bagi tau. Saya sendiri pun tak dapat surat pengesahan itu lagi. Apa-apa sahaja boleh berlaku!


Sekiranya spekulasi itu benar-benar berlaku, apa tindakan Datuk Seri?

Azizan: Kalau spekulasi ini betul, kita buat cara betul, jika tak betul buat cara tak betul. Masih ada masa tiga hari lagi sebelum majlis angkat sumpah.


Spekulasi ini membabitkan dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah (Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh), adakah ini menunjukkan wujud masalah dalaman dalam Pas Kedah?

Azizan: Biasanya bila timbul isu macam ini, ahli parti akan lebih bersatu. Apabila dicabar, akan bersatu semula... itu silap mereka buat spekulasi kerana hanya akan buatkan kami bersatu semula.


Tetapi pihak luar akan pandang serong seolah memang wujud pertelingkahan dalaman?

Azizan: Sejak hari pertama saya jadi Menteri Besar, sudah ada yang pandang serong. Macam-macam spekulasi timbul. Ada dakwa saya mampu bertahan tiga bulan sahaja, selepas itu enam bulan. Mereka kacau juga tetapi Alhamdulliah sampai sekarang bertahan. Wartawan la yang buat spekulasi ni.


Ada kemungkinan Datuk Seri tahu siapa dalang di sebalik spekulasi ini?

Azizan: Saya tau pun tak apa, tak tau pun tak apa. Lagi senang jika saya tak tau.


Kemungkinan dibuat orang dalam Pas sendiri?

Azizan: Saya tidak berminat dengan semua ini.


Adakah Datuk Seri memberi kepercayan sepenuhnya kepada barisan Exco?

Azizan: Saya sayang semua Exco dan tidak pernah prejudis terhadap mereka. Juga tidak ada kelas-kelas dalam barisan Exco. Saya sangat sayang mereka dan percayakan mereka. Kita kerja macam abang adik.


Bila senarai baru Exco dijangka keluar?

Azizan: Senarai baru mungkin Ahad ni. Pejabat Sultan Kedah di Istana Negara akan hantar. Walaupun baginda adalah Yang di-Agong tetapi urusan pelantikan Exco masih bawah bidang kuasa baginda. Saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda. Itu tradisi Kedah. Saya sudah mengadap Tuanku dua hari lepas di Istana Negara, dah bincang perkara ini. Perkara ini bukan seperti wartawan tanya, kena jawab sekarang, Tuanku biasanya tidak bagi keputusan ketika itu juga, baginda teliti dulu.


Adakah senarai nama dihantar itu turut diserahkan kepada Presiden Pas?

Azizan: Saya tidak tunjuk pada beliau, lagipun beliau kata itu hak saya.


Mungkin ada tambahan nama baru dalam senarai?

Azizan: Itu pun saya tidak boleh bagi tau!


Boleh Datuk Seri berikan sedikit bayangan apakah bentuk kejutan pada Selasa ini?
Azizan: Asyik media sahaja buat saya terkejut, saya pun nak buat mengejut juga.

No comments

Powered by Blogger.