'Pertemuan dengan 2 Exco Kedah positif'

ROSNANI SAAD

ALOR SETAR - Pertemuan antara Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dengan dua pemimpin Pas Kedah semalam membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

"Pertemuan hari ini (semalam), membuahkan cadangan, buah fikiran dan pendapat yang positif ke arah penyelesaian isu di Kedah.

"Selaku perantara, saya akan membawa semua cadangan, pemikiran dan pendapat ini dalam mesyuarat khas Pas Pusat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (hari ini)," katanya.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Saya nampak ada harapan yang positif ke arah penyelesaian isu ini. Bagaimanapun sebarang keputusan akan dimaklumkan selepas mesyuarat," katanya.

Ditanya sama ada pertemuan turut melibatkan seorang lagi Exco yang didakwa menolak untuk dilantik semula, Dr Ismail Salleh, beliau berkata, pertemuan dengan Azizan dan Phahrolrazi sudah memadai.

Kehadiran Salahuddin ke negeri ini bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung pagi semalam.

No comments

Powered by Blogger.