Noh diminta dedah bukti isu pasir

NURULFATIHA MUAH

SHAH ALAM – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar diminta bersedia memberikan maklumat berhubung dakwaan isu penyelewengan pasir di Selangor kepada ahli panel Transparency International.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau sudah meminta ahli panel pasukan tersebut untuk menemu bual Noh bagi tujuan itu.

“Kita mahu Noh dedahkan maklumat seperti dakwaannya itu dan ia akan didedahkan kepada umum kelak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Semua urusan transaksi perniagaan pasir di negeri itu dipantau Transparency International dan dua pengarah bebas badan tersebut juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sejak tahun lalu, bagi menjamin ketelusan operasi.

Sebelum ini, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor mendakwa mempunyai bukti wujudnya penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh KSSB dalam penawaran pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Noh mendakwa, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50, manakala syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan RM0.50 sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli, berdasarkan maklumat diperolehnya.

Beliau juga sedia berdepan dengan tindakan disaman oleh Kerajaan Negeri berikutan pendedahannya mengenai isu penyelewengan itu.

Sebelum itu, blogger Raja Petra Kamaruddin pada 9 Februari lalu mendedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei bersama Adun Batu Caves, Amirudin Shari didakwa terlibat dengan skandal rasuah melibatkan aktiviti perlombongan pasir di negeri ini.

Dua Adun PKR itu didakwa mengambil rasuah untuk menyokong permohonan sebuah syarikat pengorekan pasir.

Dakwaan sama juga mendedahkan bukti transkrip perbualan telefon menunjukkan Shuhaimi menerima wang tunai RM50,000 dengan pembayaran dibuat kepada beberap individu.

Shuhaimi dan Amirudin pada sidang media sehari selepas itu menafikan dakwaan tersebut dan mempersoalkan motif Raja Petra mengulangi tuduhan itu setelah mereka disahkan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Julai lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif KSSB berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Noh untuk mengadakan satu pertemuan bersama tiga Ahli Lembaga Pengarah Bebas KSSB.

“Surat itu dihantar hari ini (semalam) untuk mendapatkan persetujuan Noh supaya beliau dapat menetapkan tarikh bagi membicangkan dakwaan sakah laku isu pasir.

“Tiga Ahli Lembaga Pengarah Bebas KSSB, iaitu Sabtu Md Ali, Cheong Seng Gee dan Ganabatirau Veraman dijangka bertemu Noh bagi membolehkan KSSB mendapatkan gambaran yang tepat supaya tindakan yang seterusnya dapat diambil,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KSSB memandang serius tentang dakwaan terbabit dan berharap agar perjumpaan yang bakal diadakan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

No comments

Powered by Blogger.