Tutup kes Ariffahmi bersih nama Kerajaan Negeri

Wartawan Sinar Harian


KOTA BHARU – Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kes penyalahgunaan kuasa Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman secara tidak langsung membersihkan nama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Exco Kerajaan Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, beliau bersyukur dengan penutupan kes tersebut walaupun kecewa kerana mengambil masa agak lama untuk diselesaikan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ariffahmi dan seluruh anggota keluarga, saya mendoakan agar segala kepedihan dan pengorbanan semasa berhadapan kes tersebut mendapat ganjaran besar ALLAH SWT.

“Saya dari dahulu lagi saya yakin bahawa beliau tidak bersalah dalam hal ini namun biarlah proses perundangan diberikan ruang berperanan,” katanya.

Mohamed Fadzli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, apabila kes itu ditutup tanpa sebarang pendakwaan, ia bukan saja membersihkan nama Ariffahmi tetapi juga nama Nik Abdul Aziz dan Kerajaan Negeri Kelantan.

Berkat doa daripada orang yang dizalimi, katanya, niat pihak tertentu menggunakan kes tersebut untuk menjatuhkan Ariffahmi dan Menteri Besar sekali lagi menemui kegagalan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana menjalankan tugas secara profesional,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Ariffahmi Abd Rahman bersyukur kerana nama beliau dibersihkan Panel Penilaian Operasi SPRM.

Katanya, siasatan kes tersebut memakan masa yang agak lama iaitu semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan.

Penantian untuk mendapatkan keputusan kes yang dilihat tergantung sepanjang tahun 2010 dan 2011 itu, katanya, mungkin kerana dipengaruhi pelbagai faktor politik, terutama musuh Pas apatah lagi suasana menjelang pilihan raya umum.

No comments

Powered by Blogger.