KENYATAAN AKHBAR PROJEK PEMBINAAN LEBUHRAYA KOTA BHARU – KUALA KRAI

KENYATAAN AKHBAR

PROJEK PEMBINAAN LEBUHRAYA KOTA BHARU – KUALA KRAI

Projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai telah dicadangkan oleh Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia ke 5 (1986-1990) tetapi tidak terlaksana sehingga ke hari ini. Ia telah diluluskan sekali lagi dalam Rancangan Malaysia ke 9 dan sebuah syarikat pemaju telah dilantik untuk melaksanakan pembinaan projek tersebut.

Namun begitu sehingga kini projek tersebut tidak dimulakan. Memandangkan laluan ini adalah sangat penting bagi kemajuan Negeri Kelantan serta kemudahan untuk pengguna terutama sekali pada musim perayaan, Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk mengambil langkah untuk melaksanakan pembinaan lebuhraya ini melalui inisiatif Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Kelantan telah membuka tawaran bagi cadangan projek pembinaan lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai pada 2 Januari 2012 dan ditutup pada 9 Februari 2012. Alhamdulillah Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan Lebuhraya ini telah menerima tawaran dan kertas cadangan dari 5 syarikat.

Untuk makluman, pembinaan lebuhraya sepanjang 73 km yang bertaraf R5 dengan 9 persimpangan bertingkat serta 2 buah kawasan Rehat dan Rawat (R & R) dengan tawaran kos sebanyak RM1.5- 1.8 Billion.

Pemilihan syarikat yang berjaya akan diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan selepas Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan menilai cadangan-cadangan tersebut dalam masa terdekat.

Penelitian awal terhadap cadangan-cadangan tersebut pada hari ini iaitu 11 Februari 2012 dan pada umumnya Jawatankuasa ini berkeyakinan cadangan yang dikemukakan adalah berdaya maju. Insyaallah harapan rakyat Kelantan untuk mempunyai jaringan pengangkutan yang moden dan selesa akan dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.

YB Dato’ Hj Husam B. Musa

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan

dan Kebajikan Negeri Kelantan

No comments

Powered by Blogger.