Phahrolrazi: Keputusan saya sendiri, jangan kaitkan 'Anwarism'

MOHD IDROS MOHD ALI & ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Datuk Phahrolrazi Nawawi menegaskan beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri disebabkan perbezaan pendapat yang agak ketara dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tindakan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.
Menurutnya, ia tiada kaitan dengan sesiapa kerana lebih kepada perbezaan pendapat dengan Azizan.

"Kalau berbeza sedikit dan masih boleh tahan, saya akan duduk. Tetapi apabila menjadi ketara, saya rasa lebih baik duduk di luar sebab tidak boleh lagi bekerjasama untuk membuat keputusan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Kalau daripada 10 perkara, perbezaannya adalah enam atau tujuh, ia adalah besar dan perlu melakukan sesuatu untuk kebaikan bersama," katanya pada sidang media di rumahnya petang semalam.

Mengenai pengaruh Anwar, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau tiada apa-apa hubungan dengan ketua pembangkang itu.

"Saya pun jarang berjumpa atau bercakap dengan Anwar," katanya.

Menurutnya, pandangan dan tindakannya itu turut dkongsi oleh Dr Ismail Salleh yang berpendapat untuk tidak meneruskan perkhidmatan sebagai Exco disebabkan tidak dapat membuat keputusan secara bersama.

Ditanya tindakannya itu adalah untuk mendesak Azizan melepaskan jawatan Menteri Besar, beliau berkata, ia langsung tiada kena-mengena.

"Jika saya nak mendesaknya letak jawatan, kenapa saya perlu keluar dari kerajaan. Adalah lebih mudah jika saya berada di dalam," katanya.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakannya itu dikaitkan pertembungan antara golongan profesional dan ulama, beliau berkata ia adalah tidak benar.

"Adakah saya dianggap sebagai golongan profesional sedangkan tindakan saya ini mendapat restu Dewan Ulama Pas Kedah. Azizan juga ulama tetapi dapat sokongan pemuda dan muslimat Pas Kedah. Jadi tidak timbul soal itu," katanya.

Ditanya sama ada tindakannya itu boleh memecahbelahkan perpaduan parti, Phahrolrazi yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, ia tiada kena mengena dengan Pas sebaliknya hanya melibatkan urusan Kerajaan Negeri.

Ditanya bila mengambil keputusan untuk meletak jawatan, secara berseloroh beliau berkata tidak ingat tarikhnya.

"Seronok juga bila tiada jawatan dalam kerajaan. Bangun pagi boleh berehat sambil baca surat khabar sebab tiada tugas rasmi untuk dilakukan," katanya.

No comments

Powered by Blogger.