Johor Sasaran Baru Pas?


A Kadir Jasin


PENGESAHAN oleh Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali, yang Naib Presiden parti itu, Salahuddin Ayub, akan pulang bertanding di Johor dalam Pilihan Raya Umum akan datang tidaklah memeranjatkan.

Ia adalah selaras dengan strategi parti itu dan selari dengan keyakinan baru yang diperoleh ketika dan selepas PRU 2008.

Lagipun, kalau Pas benar-benar mahu menjadi parti Melayu/Islam kebangsaan dan alternatif kepada Umno, haruslah mengembangkan sayapnya ke semua negeri, apatah lagi Johor yang berupa negeri Melayu dan kubu Umno.

Sekiranya Pas berjaya menembusi hatta sedikit sahaja kubu terakhir Umno itu, ia sudah boleh dianggap sebagai kemenangan moral yang besar.
Sedikit tembok kubu itu telah berjaya ditembusi pada PRU 2008 apabila Pas memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Maharani dan Sungai Abong.

Majoriti Pas tidaklah besar dan kekuatannya, pada ketika itu, tertumpu kepada utara barat laut Johor sahaja. Malah dalam pilihan raya kecil DUN Tenang, prestasi Pas lebih buruk daripada ketika PRU 2008. Tetapi sejak itu, Pas diketahui lebih cergas berkempen di Johor.

Ketika menghadiri kenduri kahwin anak Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, di Shah Alam Insin lalu, saya berkesempatan berbual ringkas dengan seorang lagi Naib Presiden Pas, Husam Musa, yang baru pulang berceramah di Johor.

Kalau Pas berminat menjadikan Johor sasaran seterusnya - selepas Kelantan, Kedah dan Terengganu - Salahuddin adalah pilihan tepat untuk mengetuai gerakan itu kerana beliau adalah anak kelahiran Johor dan antara pemimpin bukan ulama yang paling berkaliber dan disenangi oleh kawan dan lawan. Mulai PRU 2004, beliau bertanding dan menang di kawasan Parlimen Kubang Krian, Kelantan.

Mengikut biodata Wikipedia (bahasa Melayu), Salahuddin Bin Ayub dilahirkan pada 1 Disember 1961 Kampong Serkat, Tanjung Piai, Pontian. Beliau mendapat pendidikan Inggeris, Melayu dan Islam di Johor sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman dan mendapat ijazah BSc. dari Universiti Putra Malaysia. Beliau menjadi pegawai kewangan di MUI Bank pada 1980 dan menceburi bidang politik sepenuh masa pada tahun1983.

Strategi Pas di Johor menyamai apa yang telah dilakukannya di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu, di mana kesabaran dan keazaman akhir membuahkan kejayaan.

Tetapi laluan Pas di Johor nyata akan lebih sukar dan mencabar kerana majoriti orang Melayu negeri itu masih terikat kuat kepada Umno.

Ramai orang Melayu Johor menganggap Umno sebagai “hak” orang Johor dan latar belakang pendidikan agama mereka menyebabkan mereka kurang tertarik dengan ortodoksi Pas. Jadi, pilihan Salahuddin, anak Johor yang berpendidikan moden, mungkin membantu mengurangkan imej ortodoks Pas.

Dengan latar belakang pendidikan moden dan terbuka, Salahuddin mungkin boleh meyakinkan generasi muda Johor bahawa Pas yang bakal beliau pimpin di negeri itu adalah berlainan daripada Pas yang dikongkong oleh ortodoksi ulama.

Wallahualam.

No comments

Powered by Blogger.