Dengan nada sedih, Azizan berkata, “Saya tak kelahi dengan sesiapa pun, tetapi orang yang cari gaduh dengan saya.”

Azizan: Saya patuh arahan Pas Pusat

Oleh: ROSLINDA HASHIM

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akur pada keputusan muktamad pimpinan Pas Pusat berhubung kemelut pelantikan Exco Pas, yang menetapkan kedua-dua Exco terlibat, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, selaku pemimpin tertinggi Pas Kedah dan negeri, beliau perlu mematuhi arahan yang diputuskan oleh Pas Pusat.

“Saya ikut sahaja apa jua keputusan dalam mesyuarat yang diputuskan Pas Pusat, termasuk arahan yang dikeluarkan. Pada awal lagi, bukan saya yang buang mereka, tetapi mereka yang tidak mahu,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan keputusan yang dicapai selepas pertemuan melibatkan semua pihak di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon, malam kelmarin, Pas Pusat memutuskan Azizan kekal sebagai Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Phahrolrazi dan Ismail kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri selain menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat untuk memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri diterajui Pas dan negeri-negeri di mana Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.

Azizan turut menyerahkan sepenuhnya kepada Pas Pusat untuk berbincang dengan kedua-dua Exco berkenaan sekiranya, selepas arahan dikeluarkan, timbul masalah lain membabitkan mereka.

“Jika selepas ini pun, mereka masih enggan ikut arahan yang ditetapkan Pas Pusat, saya nak buat macam mana. Selepas ini, saya serah pada Pusat untuk uruskan, lagipun isu ini sudah diambil sepenuhnya oleh Pusat dan mereka akan pantau apa yang berlaku,” katanya.

Dengan nada sedih, Azizan berkata, “Saya tak kelahi dengan sesiapa pun, tetapi orang yang cari gaduh dengan saya.”

Azizan bagaimana pun berkata, buat masa ini beliau belum berhasrat untuk mengadakan sidang media khas berhubung isu ini.

No comments

Powered by Blogger.