Wikileaks: Penjelasan dari Pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim
Keadilan Daily
Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan oleh Wikileaks kepada Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut. Makanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan yang asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange. Oleh itu Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini telah membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya. Keputusan editorial tersebut semata-mata dibuat oleh Quick Roll Productions dan tidak dipaksakan oleh Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke atas mereka.
Keduanya, kami merasa terpanggil apabila Dato’ Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra. Kami kesal kerana Dato’ Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu. Akan tetapi oleh kerana YAB Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Dato’ Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan YB Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Perdebatan antara YB Ketua Pembangkang dengan YAB Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia. Justeru keengganan Dato’ Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memunculkan tanda tanya di kalangan rakyat terbanyak, sama ada YAB Perdana Menteri takut ataupun tidak punya komitmen untuk menyuburkan amalan Demokrasi di negara ini.
Ibrahim Yaacob
Ketua Staf
Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim
No comments
Post a Comment