Keputusan Shahrizat betul dan tepat, kata Najib



PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat dan betul.

Perdana Menteri berkata pengunduran diri itu dilihat sebagai satu pengorbanan demi kepentingan kerajaan dan parti.

"Walaupun setakat ini tiada bukti beliau buat kesalahan dari segi undang-undang, namun sebab isu NFC mengundang pertikaian dan kontroversi, beliau sanggup berundur daripada kerajaan," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, di sini, hari ini.

Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.

Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN). - Bernama

No comments

Powered by Blogger.