PR tidak gusar populariti tinggi Najib
Oleh: G MANIMARAN
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) tidak gusar dengan peningkatan semula populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang hasil kajiannya diumumkan Merdeka Center kelmarin.
Beberapa pemimpin PR berkata paras populariti yang tinggi iaitu 69 peratus pada sekarang, tidak semestinya menggambarkan kedudukan sokongan yang sebenar pengundi ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pemimpin-pemimpin PR tidak menafikan populariti individu Najib, tetapi ia bukan gambaran sebenar tentang tahap keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas kerajaan pimpinannya.
"Pakatan Rakyat tidak cemas dengan penemuan kajian (Merdeka Center) ini," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Kata beliau, BN tidak boleh menang ataupun mengharapkan kemenangan besar hanya dengan meletakkan kebergantungan pada populariti Najib yang agak tinggi pada masa sekarang semata-mata.
Dengan merujuk kepada persekitaran populariti Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Saifuddin berkata, kepopularan kepimpinan bekas perdana menteri ketika itu tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.
Dalam PRU pertama pada 2004, selaku Perdana Menteri, Abdullah membawa kepada kemenangan bersejarah lebih 90 peratus kerusi Parlimen. BN berhadapan dengan senario berbeza empat tahun kemudian.
"Saya ambil pengalaman saya tahun 2008, ketika Abdullah Ahmad menjadi Perdana Menteri, kajian yang sama yang dilakukan oleh Merdeka Center.
"Ketika itu populariti Abdullah sekitar 70 hingga 72 peratus, paras yang agak tinggi, tetapi apa yang berlaku ialah Umno dan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan hilang (kerajaan) di lima negeri," kata beliau.
Oleh itu kata Ahli Parlimen Machang ini, beliau tidak melihat tahap populariti Najib yang hampir sama tinggi dengan Abdullah akan menjejaskan usaha dan strategi PR menghadapi PRU13.
Saifuddin juga berkata, berdasarkan apa yang diperkatakan oleh bekas Ketua Wanita Umno dan bekas anggota Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz bulan lalu, PRU13 tidak boleh dimenangi hanya berdasarkan populariti Najib.
"Tan Sri Rafidah seorang pemimpin berpengalaman, sudah lama dalam politik. Itu komen Rafidah, beliau mampun membuat penilaian (kedudukan BN dan Najib). Jadi, kami di PR tidak gusar, tidak risau dengan kedudukan ini. Kami bersiap sedia untuk menghadapi PRU13, sudah bersedia untuk menghadapi PRU13," katanya lagi.
No comments
Post a Comment