PRU13: Daim ramal BN selamat tiga negeri sahaja


Keadilan Daily

KUALA LUMPUR 20 Mac: Bekas Bendahari Umno, Tun Daim Zainuddin meramalkan Umno BN hanya menang di Johor, Melaka dan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan selainnya dimenangi Pakatan Rakyat.

Daim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau yang diterbitkan hari ini, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Daim turut dipetik sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kini umpama "jeneral tanpa askar" dalam berdepan cabaran PRU.

"Perdana Menteri dan pemimpin utama lain sudah pun melakukan lebih dari cukup. Maka situasi semasa mereka umpama 'jeneral tanpa askar'.

"Di manakah askar-askar BN? Pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian perlu lebih proaktif melibatkan diri dengan orang ramai," kata Daim.

Daim turut meramalkan agak sukar untuk Umno BN mengekalkan Sabah dan Terengganu ekoran krisis dalaman parti itu di kedua-dua negeri itu.

Mengenai Negeri Sembilan, Daim tidak menolak bahawa Pakatan Rakyat berpeluang cerah untuk menang di situ ekoran gabungan KEADILAN, PAS dan DAP hanya memerlukan sekurang-kurangnya enam kerusi untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, kata Daim, Umno juga terpaksa mencari calon sesuai untuk menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ini, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijangka bertanding kerusi Parlimen untuk dilantik sebagai menteri persekutuan.

Mengenai Perak yang dirampas Umno BN yang diketuai Najib sejak Februari 2009, Daim melihat agak sukar untuk Umno BN kekal di negeri itu.

Sementara Kelantan dan Pulau Pinang, Daim yakin Pakatan Rakyat akan terus memerintah di kedua-dua negeri itu.

Menjelang PRU 8 MAc 2008, Daim pernah meramalkan Umno BN akan kalah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, namun tiada siapa melihat dengan serius ramalan beliau.

Sehinggalah keputusan 8 Mac diumum yang yang menyaksikan Umno bukan sahaja kalah di negeri itu, kecuali Terengganu, malah buat pertamakali dalam sejarah BN hilang 2/3 kerusi Parlimen.

No comments

Powered by Blogger.