Kemiskinan: Kelantan jauh lebih baik daripada Sabah



(Oleh: Azrul Azwar)
Mar 30 2012 / Keadilan Daily

Menurut hasil kajian World Bank’s 2010 Malaysia Economic Monitor, paling ramai rakyat miskin di Sabah boleh ditemui di kawasan luar bandar terutamanya di kalangan etnik Rungus di Utara, Orang Sungai di Timur dan etnik Suluk di Timur.

Terdapat juga rakyat miskin dalam komuniti lain termasuklah keturunan Tionghua di kawasan bandar. Sabah juga mencatatkan kadar kemiskinan bandar tertinggi di Malaysia. Dengan saiz isi rumah purata terbesar di Malaysia dari segala segi, sudah pasti kesempitan hidup amat mencabar terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam kategori 40 peratus isi rumah terbawah (40 peratus).

Lebih parah lagi, kadar isi rumah di Sabah dalam kategori 40 peratus isi rumah terbawah ditakrif sebagai mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM2,300 sebulan (pendapatan kasar bulanan purata pada 2009 bagi seluruh Malaysia adalah RM4,025 iaitu RM4,705 di bandar dan RM2,545 di luar bandar berbanding bagi golongan 40 peratus isi rumah terbawah sebanyak RM1,440) telah meningkat kepada 11 peratus pada 2009 berbanding 6 peratus pada 1989!

Hakikatnya, pada 2009, menurut laporan The Millennium Development Goals at 2010, terbitan hasil kerjasama di antara PBB dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, semua negeri di Malaysia KECUALI Sabah berjaya mencapai satu daripada lapan matlamat pembangunan seperti mana terkandung dalam Millenium Development Goals yang dipersetujui oleh kesemua 193 negara ahli Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk dipenuhi di antara 1990 sehingga selewat-lewatnya 2015, yakni mengurangkan sehingga menjadi separuh kadar kemiskinanan masing-masing.

Rakyat Sabah mundur

Malah, masih ramai rakyat Sabah seolah-olah terpinggir daripada arus pembangunan pesat negara dan dinafikan akses kepada fasiliti dan infrastruktur kerana setelah hampir setengah abad, Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963, kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah semasa di luar Barisan Nasional masih gagal menyediakan bekalan elektrik kepada hampir satu pertiga (23 peratus) daripada masyarakat luar bandar Sabah berbanding hanya 0.5 peratus sahaja masyarakat luar bandar di Semenanjung Malaysia yang masih belum menikmati kemudahan elektrik, bekalan air bersih atau air yang telah dirawat kepada hampir separuh (47.7 peratus) daripada masyarakat luar bandar di Sabah.

Sedangkan hanya 10 peratus daripada masyarakat luar bandar di Semenanjung Malaysia yang kurang bernasib baik tanpa akses kepada air bersih, peluang pekerjaan sesuai pada paras pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup terutamanya bagi warga belia.

Jika Malaysia menggunapakai kayu ukur kemiskinan sebagaimana pendekatan yang diambil di negara maju seperti OECD dan Kesatuan Eropah yakni Purata Garis Kemiskinan (PGK) pada paras 50 peratus atau 60 peratus pendapatan isi rumah median yang dianggap oleh banyak pihak berkepentingan sebagai mampu memberi gambaran lebih tepat paras pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan asas supaya mencapai taraf hidup yang memuaskan, nescaya kadar kemiskinan Malaysia khususnya Sabah akan meningkat paling kurang tiga hingga empat kali ganda!

Jika diambil kira purata pendapatan kasar isi rumah pada 2009 sebanyak RM3,144 bagi Sabah dan Labuan, PGK pada kadar 60 peratus akan melonjak kepada RM1,886.4 bagi Sabah dan Labuan berbanding RM1,048, sekaligus menjerumuskan lebih ramai lagi rakyat Sabah ke dalam kancah kemiskinan. Jurang antara kaya dan miskin melebar atau ketidaksamaan ekonomi merosot di Sabah dan Labuan di mana pekali Gini telah meningkat kepada 0.453 pada 2009 berbanding 0.450 pada 2007 atau 0.448 pada 1999!
BN penyebab Sabah negeri termiskin

Semua ini jelas mercu tanda kegagalan pentadbiran Barisan Nasional memanfaatkan sebaiknya kekayaan hasil bumi dan pelbagai kelebihan lain yang dimiliki negeri yang terkenal dengan jolokan di Negeri di Bawah Bayu ini. Sebagai antara negeri terkaya di Malaysia dari segi sumber alam semulajadi seperti minyak, gas, balak, hidupan laut serta hasil lautan dan perhutanan asli yang lain di samping kawasan pertanian yang luas dengan kelapa sawit, getah, koko dan komoditi lain serta pelbagai kawasan tarikan pelancong berpotensi tinggi terutamanya bagi segmen pelancongan-eko dan pelancongan-agro, adalah amat tidak wajar dan memalukan bagi Sabah mendapat gelaran negeri termiskin di Malaysia.

Malah, tidaklah keterlaluan jika sesetengah pihak menyifatkan kegagalan perancangan ekonomi untuk mencapai pertumbuhan inklusif ini sama seperti 'jenayah kemanusiaan' apabila ketirisan, pembaziran, amalan rasuah dan kronisme yang berakar-umbi dan berleluasa secara sistematik telah melebarkan jurang kaya-miskin, bandar-luar bandar, Bumiputera-bukan Bumiputera, berpendidikan-tidak berpendidikan, antara wilayah atau negeri dan sebagainya bukan sahaja di Sabah malahan di seluruh Malaysia.

Kelantan jauh lebih baik

Meskipun pendapatan per kapita negeri Kelantan adalah yang terendah di Malaysia, sudah terang lagi bersuluh bahawa negeri tersebut bukanlah yang termiskin di Malaysia sebagaimana yang didakwa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana pada paras 4.8 peratus, kadar kemiskinan Kelantan hanyalah yang kelima tertinggi di Malaysia di belakang Sabah, Perlis, Sarawak dan Kedah (mengikut turutan).

Oleh kerana terbukti tanpa sebarang keraguan lagi bahawa rakyat Sabahlah yang terpaksa bergelut paling teruk untuk meneruskan kehidupan seharian terutamanya dalam golongan 40 peratus isi rumah terbawah, maka Najib dan rakan-rakannya dinasihatkan supaya mengekang diri daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan sama sekali tidak berasas ataupun menyalahgunakan/menyalahtafsirkan penunjuk ekonomi seumpama ini pada masa hadapan.

*Penulis dari Lawyers For Liberty. Artikel ini merupakan bahagian kedua dari 2 siri yang diterbitkan minggu lalu.

No comments

Powered by Blogger.