Parti mana lebih hebat?



Oleh : Muhammad Nazreen

Jimi Hendrix diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama mendengar secara ‘live’ album Sgt. Pepper Lonely Heart Club – album ke-8 The Beatles. Malah, Majalah Rolling Stone mengisytiharkan album yang diterbitkan pada 1 Jun 1967 itu merupakan album terbaik di kalangan 500 album sepanjang zaman.

Album ini ditanggapi sebagai cetusan baru dalam dunia muzik Psychedelic Rock yang paling unik pernah tercipta.

Mahu dijadikan cerita, Jimi Hendrix tidak senang untuk melihat Sgt Pepper Lonely Heart Club terus berjaya dengan dominasi muzik British pada era yang dikenali sebagai ‘Brits Invasion’. Terus, Jimi mengambil keputusan mengejut dengan memainkan lagu Sgt Pepper Lonely Heart Club secara live di Saville Theatre hanya selepas tiga hari album itu dilancarkan.

Tindakan Jimi Hendrix dianggap kurang ajar oleh penerbit album terbabit, Brian Epstein, kerana merasakan seolah-olah peluang gemilang ‘The Beatles’ ini dicuri Jimi yang sememangnya memukau hadirin pada malam itu. Jadi, kontroversi terbit, seperti ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’.

Jika kita bandingkan hal ini dengan gejolak persaingan parti-parti politik di Malaysia, adakah kita mendapati perkara yang sama sedang beralun di lanskap politik tanahair? Ya, dengan pasti, kita terus hanyut dihiburkan dengan parti-parti politik yang bertarung bukan tentang soal dasar dan idea yang berguna untuk rakyat, tetapi tentang siapa menciplak idea siapa.

Ironi bukan? Hal seperti ini tidak asing dalam sejarah politik dunia.

Barang diingat, hal yang sama di suatu ketika pernah melanda dunia politik Amerika. Artikel yang terbit pada 24/2/2008 dalam New York Times, bertajuk “Political Oratory and Plagiarism”, menceritakan perkara yang hampir sama. Artikel berkenaan mengisahkan perjalanan susuk politikus terkenal di Amerika yang terbabit dalam hal ini.

Semasa kempen pilihanraya presiden Barack Obama, beliau meniru bulat-bulat dasar yang dikembangkan oleh Gabenor Massachusett, Deval Patrick, tanpa pula memberi penghormatan kepada pencadang dasar asal.

Kembali ke Malaysia, kita selalu didendangkan dengan drama sebuah parti politik yang menciplak beberapa keping dasar daripada lawannya. Parti ini kemudian mengatakan dengan megah bahawa ia adalah parti mesra-rakyat. Ini biasa buat parti politik yang sudah kering idea dan kontang idealisme.

Seharusnya, ada dasar-dasar yang baik yang perlu disokong tanpa mengira siapa yang memperkenalkan dasar itu dan ia milik siapa. Sebagai contoh, dasar C.A.T (Competency, Accountability, Transparency).

Bagi saya selaku orang yang bukan milik kepada sesuatu parti, seharusnya tidak timbul hal-hal remeh untuk dibicarakan di Dewan Rakyat. Kita harus sedar bahawa Dewan Rakyat perlu menjalankan fungsinya secara berkesan dalam proses ke arah kerajaan kelas pertama.

Bayangkan kita hadir di Dewan Rakyat, apa yang berlaku adalah ahli-ahli dewan rakyat sibuk bertengkar samada Parti A ‘mencilok’ idea Parti B dan sebaliknya.

Saya kira sebagai wakil rakyat, mereka perlu lebih fokus kepada perbincangan yang berkait rapat dalam soal kemaslahatan rakyat, selain fokus terhadap peranan asalnya untuk membincangkan soal budaya, ekonomi dan sosial masyarakat untuk merangka perlembagaan dan akta-akta yang dapat diterapkan dengan baik untuk kesejahteraan rakyat di masa hadapan.

Berbalek kepada kontroversi Jimi Hendrix dan The Beatles tadi, saya kira kedua-dua artis ini terus mencipta nama besar di dalam perkembangan industri muzik dunia. Walaupun Jimi terlebih dahulu memperbaiki beberapa susunan lagu ‘Sgt Pepper Lonely Heart Club’ dengan lebih baik, The Beatles terus mencipta fenomena dengan album terbabit sekalipun tanpa bantuan dan publisiti Jimi Hendrix.

Jadi, tinggalkan sahaja debat tentang siapa yang menciplak idea siapa. Saya kira banyak hal lain yang lebih penting, termasuk untuk mempersiapkan rakyat Malaysia dengan budaya demokrasi matang kelas pertama demi menjana keharmonian bangsa Malaysia.Roketkini.com

No comments

Powered by Blogger.