'SBPA tidak berapa sesuai dengan 1Malaysia'
KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan membatalkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat responsif terhadap kehendak masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, langkah itu diambil setelah satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai semula SBPA berpendapat ia tidak berapa sesuai dengan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
"(Justeru) Perdana Menteri telah mengambil satu langkah (untuk) menilai balik (SBPA)," katanya selepas merasmikan set tren MyKomuter yang operasinya bermula hari ini.
Pembatalan skim SBPA itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin berkata, cadangan SBPA itu telah dikemukakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi selepas ia diteliti semula kerajaan mendapati ada beberapa perkara dalam skim itu yang perlu dipinda.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata dengan keputusan ini, guru-guru juga diharap berasa gembira kerana kerajaan akan melaksanakan seberapa segera janji-janjinya sebelum ini.
"Macam perdana menteri kata, guru-guru jangan gundah gulana, apa yang dijanjikan dalam bajet itu (Bajet 2012) akan dipenuhi dan mungkin dalam tempoh yang terdekat perincian itu akan dimaklumkan oleh pihak JPA. Dengan jaminan perdana menteri itu, kita harap ia akan dapat memuaskan hati," katanya.
Ketika ditanya sama ada tarikh pilihan raya umum ke-13 telah hampir memandangkan kerajaan sudah menyelesaikan isu SBPA, Muhyiddin berkata, "Belum ada sebarang keputusan yang jelas mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13."
"Semua orang boleh membuat spekulasi kononnya pilihan raya akan berlaku sebaik sahaja kerajaan menyelesaikan status kedudukan SBPA, tidak ada salahnya.
"Yang saya tahu, kita masih lagi fokus untuk membuat persediaan bagi pilihan raya, apa yang kita boleh buat dan kita masih teruskan usaha kita kerana yang penting kita mesti memperoleh kejayaan dan kemenangan," katanya.
Mengenai keputusan kerajaan menganugerahkan konsesi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) berharga RM2.2 bilion kepada sebuah syarikat yang dipertikaikan oleh pembangkang, Muhyiddin berkata permohonan daripada syarikat tersebut dibuat mengikut saluran yang betul dan ia turut dinilai oleh agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Unit Perancangan Ekonomi.
"Tidak ada sebab kita hendak menolak permohonan syarikat tersebut kerana sebarang keputusan pemberian dibuat ke atas merit," katanya.
Beliau berkata kerajaan bersikap terbuka dan akan menerima cadangan sesiapa sahaja yang mahu menaik taraf tahap pengangkutan awam negara ini. - Bernama
No comments
Post a Comment