Anwar tidak layak bersama Pas, kata Muhyiddin


Oleh: Wartawan Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Tindak tanduk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam membuktikan beliau tidak layak berada dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau menegaskan, jika pemimpin Pas mahu berpegang kepada ajaran Islam sebenar, mereka tidak sepatutnya bersengkongkol lagi dengan Anwar kerana Ketua Pembangkang itu secara terang-terang melakukan banyak perkara menyalahi hukum syarak.

“Anwar tidak patut berada dalam pakatan pembangkang kerana beliau tidak sefahaman dengan Pas. Banyak tindakan beliau bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu.

Menurutnya, antara tindak tanduk Anwar yang bertentangan dengan Islam ialah sokongan beliau terhadap negara Israel dan cadangan supaya undang-undang berkaitan liwat dihapuskan.

“Telah ditetapkan bahawa liwat itu bertentangan dengan tabie manusia dan perbuatan itu diharamkan, tetapi Anwar pula tidak setuju dengan hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT. Perbuatan tersebut adalah satu dosa besar,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya turut mempertahankan kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa Pas merupakan ‘ajaran sesat’ adalah tepat kerana tindak tanduk pemimpin parti itu juga menyeleweng dari ajaran Islam.

Katanya, dalam banyak hal pemimpin Pas turut menyokong apa yang dilakukan oleh Anwar walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam, semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai sekutu parti pembangkang.

Beliau berkata, jika pemimpin Pas gagal menasihatkan tindak tanduk Anwar dan bersetuju dengan segala tindakannya, tidak syak lagi parti itu juga sesat dan menyeleweng daripada perjuangan Islam.

No comments

Powered by Blogger.