Umno Kota Bharu tidak gentar hadapi Zaid


Oleh: Wartawan Sinar Harian

KOTA BHARU - Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh menyatakan rasa tidak gentar dengan kesediaan Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Datuk Zaid Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, untuk bertanding dalam pilihan raya nanti, sesiapa pun boleh bertanding asalkan layak dan cukup syarat.

“Perlembagaan di negara ini membenarkan hak untuk rakyat bertanding di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun), jika mereka cukup syarat dan beliau (Zaid) ada hak untuk bertanding jika menepati kelayakan.

“Ia terbuka kepada sesiapa dan sebab itulah ada di sesetengah tempat, ada yang berstatus ‘nenek’ bertanding dan berkempen semasa pilihan raya umum sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Tinjauan Mesra Cakna Rakyat di Kampung Sireh Bawah Lembah, di sini.

Jumaat lalu, ketika melancarkan jentera pilihan rayanya, Zaid menyatakan kesediaan bertanding untuk Parlimen Kota Bharu atas kapasiti calon bebas tanpa mewakili mana-mana parti untuk PRU13.

Zaid berkata, Umno tidak mengira siapa yang akan bertanding kerana parti berkenaan tetap akan lawan dengan sesiapa sahaja calonnya.

“Sudah tentu ada ancaman daripada mana-mana parti termasuk daripada Zaid, tetapi saya rasa itu perkara biasa dalam politik.

“Perlawanan tetap perlawanan, kita tidak ambil mudah perkara berkenaan dan berhati-hati, tetapi saya percaya, rakyat boleh menilai parti mana yang banyak membela mereka,” katanya.

Semasa pelancaran jentera pilihan rayanya, Zaid berkata, beliau lebih selesa bertanding atas diri sendiri kerana yakin dengan kemampuan yang dimilikinya.

No comments

Powered by Blogger.