Banyak tidak kena dengan transformasi Najib – Forum REFSA
Kuala Lumpur 8 Mac – Program Transformasi Ekonomi (ETP) kelolaan PEMANDU menerima kritikan-kritikan pedas dalam forum anjuran institut kajian sosial REFSA di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor semalam.
Forum tersebut yang mempertemukan juru strategi ekonomi ketiga-ketiga komponen Pakatan Rakyat, Rafizi Ramli (PKR), Dr Dzulkifli Ahmad (PAS) dan Liew Chin Tong (DAP) berjaya menimbulkan banyak persoalan terhadap perlaksanaan ETP.
“Matematiknya salah. Ramalan 7.8% PEMANDU adalah tidak tepat,” kata Teh Chi Chang, Pengarah Eksekutif REFSA, mengkritik sasaran kadar pertumbuhan ekonomi tahunan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.
Membedah soal pelaburan asing, Rafizi berkata bahawa sejak 1998 kita sentiasa berada di tangga kedua di belakang Singapura dari segi penerimaan FDI di kalangan negara-negara Asia Tenggara. “Dahulu 17%, sekarang cuma 8%. FDI Singapura pula mencecah 50%,” ujar Pengarah Strategi PKR itu.
Pengarah Strategi DAP, Liew Chin Tong mengkritik cara PEMANDU yang cuba melaksanakan perancangan strategik secara berpusat tanpa melibatkan atau memperkasakan aktiviti ekonomi setempat mengikut negeri atau lokaliti. “ETP PEMANDU adalah reinkarnasi Mahathirism,” ujar Chin Tong.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli pula membangkitkan kerisauannya tentang hutang isi rumah yang sudah menjangkau 78% daripada KDNK dan hutang negara yang sudah semakin menghampiri had yang dibenarkan undang-undang. “Ini menandakan kita memerlukan perubahan yang lebih besar, bukan sekadar perlaksanaan projek-projek terpencil,” kata beliau.
Forum tersebut dihadiri para wartawan dan penggiat sosial yang ingin mengetahui apa sebenarnya yang tidak kena dengan plan transformasi Najib Razak.
Program Transformasi Ekonomi adalah usaha yang diharap akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. PEMANDU mensasarkan pendapatan per kapita akan meningkat kepada lebih dari USD15,000 atau RM48,000 menjelang tahun 2020. – Roketkini
No comments
Post a Comment