Husam Musa Bijak Menilai Masalah Kakitangan Awam. Syabas!

'Kerajaan tidak kaji SBPA dengan masak'

Oleh: MOHD ZAILANI ABD RAHMAN

KOTA BHARU - Tindakan membatalkan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menunjukkan kerajaan tidak membuat kajian teliti sebelum melaksanakan sebarang dasar.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, keputusan itu juga menunjukkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang seolah-olah terikut gaya kepimpinan sebelumnya yang tidak konsisten dalam mewujudkan dasar pentadbiran negara.

"SPBA diluluskan dalam Kabinet, tetapi dibatalkan oleh Kabinet yang sama, ini bererti dasar tersebut tidak dikaji terlebih dahulu secara masak dan teliti sebelum ia diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memansuhkan SPBA, sekali gus meredakan ketidakpuasan hati dalam kalangan 1.4 juta anggota sektor awam.

Husam berkata, Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengemukakan pendirian menolak SPBA melalui konvensyen Pakatan Rakyat di Kedah dan akhirnya menangguhkan skim berkenaan dan membatalkannya.

Dalam pada itu, Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu berkata, pihaknya merangka tawaran perkhidmatan yang lebih baik termasuk gaji minimum kepada sektor awam.

"Kita dapati lebih 40 peratus kakitangan perkhidmatan awam masih di bawah paras kemiskinan, apatah lagi dengan kenaikan kos taraf hidup yang tinggi sekarang. Gaji mereka sekarang adalah lebih rendah daripada tahap kemiskinan. Kita juga mahu menghapuskan empat peratus caj perkhidmatan ke atas pinjaman kenderaan dan perumahan kakitangan awam di seluruh negara, pelaksanaan tersebut diambil oleh kerajaan Kelantan sejak 20 tahun lalu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.