'PM seru Wanita bersama Shahrizat'


Zulaikha Zulkifli

Wanita Umno Selangor menolak gesaan supaya ketuanya Datuk Seri Shahrizat Jalil berundur daripada pergerakan itu kerana ia bertentangan dengan seruan Datuk Seri Najib Razak yang mahu mereka berdiri teguh belakangnya.

Ketuanya Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah mendedahkan, seruan itu dibuat oleh presiden Umno ketika mengadakan pertemuan bersama exco Wanita Umno Malaysia di Putrajaya Jumaat lalu.

"Jumaat lalu, exco wanita ke pejabat perdana menteri. Pada pertemuan itu perdana menteri meminta agar Shahrizat terus menerajui Wanita Umno kerana beliau (Shahrizat) seorang yang disenangi dalam jentera parti.

"Malah pelbagai pendekatan yang telah dia lakukan bersama Wanita Umno seperti menubuhkan Skuad Sayang dan sebagainya," kata Raja Ropiaah pada sidang media di Hotel Bluewave, di Shah Alam hari ini.

The Star hari ini melaporkan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menggesa sekali lagi agar Shahrizat meletakkan jawatan sebagai ketua Umno bagi mengekalkan kredibiliti parti dan kerajaan.

Beliau berkata, perletakan jawatan Shahrizat - yang dikaitkan dengan isu Perbadanan Fidlot Nasional - sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat 8 April ini tidak mencukupi.

No comments

Powered by Blogger.