Kenyataan Media: Laporan Utusan untuk Alih Perhatian Rakyat Malaysia
Nik Nazmi
Akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Surat Anwar kepada Tokoh Yahudi’ memetik laporan sebuah blog pro UMNO yang menyiarkan surat yang ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 kepada National Endowment for Democracy.
Sebenarnya sesiapa yang mengamati surat tersebut akan mendapati surat itu tidak mengandungi sebarang kontroversi. Sebaliknya, Anwar menyatakan keperluan proses pilihan raya yang bersih dan adil dan menyeru NED, sebuah agensi dwi-parti Amerika Syarikat untuk menyokong usaha rakyat tempatan yang mahukan pilihan raya bersih dan adil.
Ketempangan proses pilihan raya yang diluahkan oleh parti-parti pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan menerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil kini turut diakui kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi Reformasi Pilihan Raya dibentuk.
Penerbitan surat tersebut juga merupakan usaha media UMNO bagi mengalih perhatian rakyat daripada pendedahan pertemuan dan surat-menyurat Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan pimpinan Israel baru-baru ini. Pendedahan tersebut serta penglibatan pegawai ketenteraan Israel di dalam syarikat perunding APCO yang dilantik Najib mendedahkan kepuraan UMNO-Barisan Nasional selama ini.
No comments
Post a Comment