Fitnah media BN tak pernah berubah
(Oleh: Wira Rakyat)
Mar 1 2012 / Keadilan Daily
Tidak banyak perbezaan media massa di negara ini mengendalikan maklumat sejak merdeka pada 1957. Hanya peralatan bekerja yang berubah. Daripada zaman mesin taip dan kamera analog kepada perkakasan multimedia serba canggih.
Wartawan penyiaran era sebelum merdeka tidak mungkin mampu mengoperasikan setiap sesuatu yang dimiliki di studio stesen televisyen moden. Manakala wartawan akhbar generasi Pak Sako tidak berupaya menulis berita sekiranya masuk ke bilik berita suratkhabar masakini yang serba canggih.
Kelayakan wartawan juga berubah. Jika pada 1950an, kewartawanan dianggap tidak boleh dilatih sebaliknya bakat semula jadi. Kini wartawan datang dari universiti terbaik dalam dan luar negara. Tidak menghairankan jika wartawan dan editor di Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan sebagainya pulang dari Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Negara yang terkenal dengan kebebasan media.
Berat sebelah
Namun begitu, mengapakah wujud berita berat sebelah yang amat menyakitkan hati warganegara Malaysia? Di Kelantan berita paling kerap disiarkan stesen televisyen ialah perampasan tanah. Kononnya rampasan berlaku di banyak daerah, terutama di Gua Musang. Anak syarikat kerajaan negeri mengambil alih tanah-tanah milik rakyat yang telah ditanam kelapa sawit, getah serta pohon buah-buahan untuk dijadikan ladang komersial.
Setiap bulan rakyat Kelantan menunjuk perasaan membantah perampasan itu. Kaum wanita menangis meminta simpati. Sekiranya rakyat menekuni slot Berita Perdana TV1, sejak Kelantan diperintah PAS pada 1990 maka telah berlaku perampasan tanah seluas ribuan hektar. Cuma yang menjadi tanda tanya, mengapakah tidak ada satu pun kes rampasan tersebut difailkan di mahkamah?
Hakikatnya, hampir mustahil untuk menyaman kerajaan negeri kerana tanah-tanah yang diambil itu hanya memiliki lesen menduduki sementara (TOL) malah sesetengahnya tidak langsung memiliki apa-apa dokumen. Dalam undang-undang, tanah tanpa geran hak milik kekal adalah milik kerajaan. Rakyat boleh bercucuk tanam selagi mana kerajaan tidak menggunakannya. Justeru itu, untuk apakah stesen tv memperbesarkan isu rampasan tanah jika mereka menjunjung etika kewartawanan?
Di Selangor, berita yang paling banyak dilaporkan ialah rasuah di kalangan Exco, Adun dan Ahli Majlis Tempatan. Setiap bulan ada sahaja berita yang dikaitkan dengan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri. Bahkan, bahan buangan seperti sampah pun cuba dikaitkan dengan gejala rasuah. Apatah lagi perniagaan perlombongan pasir.
Isu skandal pasir yang didedahkan oleh Raja Petra Kamarudin dimainkan berminggu-minggu lamanya. Kononnya skandal itu melibatkan pembunuhan. Mereka terlupa pembunuhan hanya berlaku sekiranya BN terlibat. Pemimpin PR tidak sinonim dengan kaedah penyelesaian mengambil nyawa orang lain. Skandal BMF membabitkan kroni Umno menatijahkan pembunuhan pegawai penyiasat Malaysia di Hong Kong, skandal kapal selam Scopene menyebabkan Altantuya Sharibuu dibom di Shah Alam.
Faktanya, syarikat yang dituduh berniaga pasir itu menjalankan operasi perladangan kelapa sawit. Mengapakah wartawan tidak melakukan penyelidikan sebelum mendedahkan berita?
Wartawan alternatif
Hal inilah yang menimbulkan kecemburuan di kalangan wartawan media alternatif; laman web bebas mahu pun akhbar parti pembangkang. Wartawan di sana terpaksa bekerja keras menyelidiki fakta. Editor akan memaki hamun seadainya maklumat yang disiar tidak berasas, apatah lagi direka-reka.
Sedangkan wartawan media arus perdana yang kualiti kelayakan akademik mereka jauh lebih tinggi tidak perlu berpegang kepada disiplin serupa. Editor pula dibenar mengubahsuai berita secara bebas. 'Tak rela diliwat lagi' tajuk depan sebuah akhbar proUmno suatu ketika dahulu. Selepas Anwar dibebaskan pada 9 Januari mereka membina tajuk, Anwar ingin menghapuskan undang-undang anti homoseksual.
Wartawan dan editor media alternatif tidak dibenar menyiarkan perkataan seumpama itu. Malah ketika pengawal peribadi Anwar, Fayyad Afiq Albakqry ditembak kanister gas pemedih mata dan gambar pipinya yang remuk disiarkan oleh Suara Keadilan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memanggil jurugambar akhbar itu untuk disiasat atas tuduhan memalsukan gambar. Kononnya Fayad tidak cedera. Gambar tersebut diubahsuai.
Tulisan mendakwa kanister pemedih mata yang digunakan polis dalam menyuraikan peserta Bersih 2.0 sama seperti digunakan polis Israel menyebabkan wartawan disiasat di bawah Akta Hasutan. Wartawan yang berbekalkan fakta paling tepat sewenang-wenangnya dipersalahkan. Namun hal itu tidak berlaku ke atas media arus perdana.
Tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka menggesa orang Melayu mengangkat parang mempertahankan hak daripada dirampas etnik Cina. Paling kuat, kerajaan mengeluarkan surat amaran. Oleh itu, wartawan tidak takut dengan sebarang akta, asalkan berita tersebut menguntungkan BN maka ia kebal daripada tindakan undang-undang.
Tindakan lain yang boleh dilakukan ke atas mereka adalah saman malu oleh individu yang dirugikan. Namun saman sekiranya bersalah bukan dibayar oleh wartawan, sebaliknya syarikat media. Syarikat media arus perdana beberapa kali hampir gulung tikar pada hujung 1990an dan awal 2000. Mereka diselamatkan mengunakan dana dari parti politik yang menjadi pemilik saham terbesar. Maka, rakyat sedia maklum dari sumber manakah media ini membayar saman bernilai jutaan ringgit.
Rasuah media
Wartawan media arus perdana juga sering didampingi pemimpin politik. Sekiranya pemimpin tertentu ingin bertanding jawatan parti atau ketika menghadapi pilihanraya, waktu itulah lubuk emas bagi para wartawan politik. Mereka akan dijamu makan dan diberi hadiah sewaktu membuat liputan. Wang saku beberapa ratus ringgit adalah perkara biasa. Malah ada yang dihantar bercuti keluar negara.
Sedangkan wartawan media alternatif tidak diperlakukan sedemikian. Pemimpin Pakatan Rakyat tidak digalakkan mempunyai hubungan rapat dengan wartawan. Hanya 10 peratus wartawan media alternatif dikenali oleh pemimpin parti. Bukan perkara lucu jika mereka tersalah sangka wartawan media parti adalah wartawan arus perdana. Juga perkara biasa pemimpin enggan menjawab soalan kerana tidak kenal seseorang wartawan. Dengan itu rasuah mustahil terjadi.
Akibat keterlaluan terdedah dengan gejala rasuah, maka timbul satu sindrom di kalangan para wartawan dan editor media arus perdana mengampu untuk mendapat sebanyak mungkin habuan. Pada ketikanya mereka ‘membunuh?musuh politik lebih kejam daripada para pemimpin BN sendiri.
Sebab itu media di Malaysia mengalami keruntuhan etika yang parah. Wartawan di negara ini mungkin setaraf rakan sejawatan di negara komunis yang terkongkong. Demokrasi media hanya dibenar dipraktikkan di dalam rancangan gosip artis. Hanya program gosip membenarkan kedua-dua belah pihak berdebat dikaca tv secara telus.
Sedarlah para wartawan, setiap perkara yang dilaporkan akan menjadi beban fikiran kepada generasi akan datang. Sekiranya remaja dibekalkan berita lucah dan fitnah maka mereka akan membesar menjadi penzina dan pendusta.
Jangan jadikan pemimpin BN sebagai contoh, mereka meluluskan kelab hiburan yang dijadikan sarang aktiviti gay di Bukit Bintang kemudian menuduh PR mahu merubah undang-undang seksualiti. Pihak yang meluluskan lebih mulia daripada pihak yang menegur. Kelihatannya, ‘nilai gila? inilah yang cuba disemai oleh para editor media arus perdana.
No comments
Post a Comment