Misi 'Malam Damai' Pas Kedah-Pusat (Pendapat)


MUHAMAD MAT YAKIM
3 Mac 2012

SHAH ALAM - Malam ini, kesemua Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan berkumpul di Alor Setar, Kedah untuk satu misi penting - mendamaikan dua puak yang bertelagah - yang konfliknya mencapai kemuncak dua minggu terakhir ini meskipun sekamnya dipercayai sudah membara dalam senyap sejak setahun dulu lagi.

Meskipun hanya tinggal beberapa jam, apa yang akan berlaku masih tidak dapat dijangka.

Pertemuan barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Kedah diadakan susulan 'misi damai' Naib Presiden Salahuddin Ayub awal minggu ini dan satu mesyuarat pusat malam kelmarin.

Sama ada Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh akan tunduk kepada desakan supaya menerima tawaran menyambung khidmat sebagai Exco, terlalu sukar untuk meramalkannya.

Tambahan pula, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya kelmarin bersuara lantang mendesak Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya memecat kedua-dua timbalannya itu.

Kenyataan itu seperti mencurah minyak ke api dalam keadaan Pas Pusat sedang mencari jalan penyelesaian untuk suatu isu dalaman yang paling kronik dalam sejarah pentadbiran negeri, manakala Azizan sendiri pun tentunya mahu isu itu segera diselesaikan supaya imej diri dan pentadbirannya tidak terjejas lebih teruk.

Dalam pada itu, Phahrolrazi yang mengaku mendapat sokongan Dewan Ulama Pas Kedah pun tidak kurang menunjuk garang apabila pada 29 Februari lalu, memberi kata dua kepada timbalannya dalam kepimpinan Pas Kawasan Kuala Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah sama ada melepaskan semula jawatan Exco yang telah diangkat sumpah sehari sebelumnya, ataupun akan dipinggirkan di kawasan sendiri.

Ini termasuk sekatan kepada jentera pilihan raya Pas kawasan membantu Adun Anak Bukit itu pada pilihan raya akan datang.

Ini berikutan, Pas kawasan itu kata Phahrolrazi telah mencapai keputusan bahawa ketiga-tiga Adun dalam kawasan terbabit, dilarang sama sekali daripada menerima tawaran menjadi anggota Exco Kerajaan Negeri.

Selain beliau sendiri dan Amiruddin, seorang lagi Adun dari kawasan itu ialah Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan).

Phahrolrazi seharusnya berasa tidak selesa apabila seorang demi seorang daripada empat lagi anggota Exco yang sebelum itu dikatakan bersetuju untuk menyertainya memboikot kepimpinan Azizan, telah bertindak meninggalkannya.

Yang tinggal terus menjadi regu Phahrolrazi hanya Dr Ismail.

Begitu pun, pada sidang media di rumahnya petang 28 Februari lalu, Dr Ismail tidak pula kelihatan melainkan Phahrolrazi hanya diapit oleh ahli Dewan Ulama Pas Kedah termasuk ketuanya, Syeikh Mohamad Abdullah.

Melihat pada kegarangan demi kegarangan tanpa sebarang nada mahu berlembut atau mengalah, ditambah pula dengan syarat yang diletakkan oleh Phahrolrazi untuk beliau merujuk semula dengan Azizan, harapan masih lagi samar untuk melihat kemelut ini segera ber penghujung.

Kata dua yang diberikannya kepada Amiruddin sudah cukup untuk menunjukkan betapa kritikalnya konflik ini sekali gus memperlihatkan kepada umum bahawa hasrat kepimpinan Pas Pusat sebagaimana yang disuarakan Salahuddin untuk isu ini diselesaikan dalam tempoh seminggu, boleh dianggap pesimis.

Azizan sendiri meskipun cuba menunjuk selamba dengan menghadiri program seperti biasa termasuk merasmikan lombong bijih besi di Gurun kelmarin, diketahui sudah ‘letih’ dengan kemelut ini sehingga difahamkan beliau ada memberitahu seorang wartawan, jika soal jawatan Menteri Besar yang jadi punca pertikaian, beliau sendiri hairan kerana mengikut senioriti dan apa juga ukuran kelayakan, Phahrolrazilah yang sudah tentu akan menggantikannya apabila beliau berundur nanti.

Namun, dilihat dari sudut mana pun, hubungan antara dua tokoh ini seperti sudah berpatah arang, berkerat rotan sifatnya.

Jika sekalipun Phahrolrazi berse tuju untuk terima semula jawatan Exco kerana akur pada arahan Pas Pusat malam ini, tidak ada jaminan bahawa keharmonian dan keselesaan hubungan akan segera menyerap dalam sanubari dua tokoh utama Pas Kedah itu, dan juga pentadbiran Kerajaan Negeri secara keseluruhan.

Sehubungan itu, apa yang diperlukan bukan sekadar pertemuan mahabbah sebagaimana yang mahu diadakan oleh Pas Pusat malam ini, sebaliknya para tok-tok guru terutama kepimpinan Dewan Ulama Pas Kedah perlu menzahirkan doa mustajab mereka, mengadakan solat hajat supaya gelora yang melanda parti dan kepimpinan negeri segera berlalu pergi.

Ini amat penting kerana jika pentadbiran Islam mahu dizahirkan, Kerajaan Kedah yang dipilih rakyat pada pilihan raya umum lalu perlulah menjadi model yang sempurna bukan sekadar memacu slogan Kedah Sejahtera tetapi juga mengangkat martabat agama.

Dan untuk mengharapkan doa itu mustajab, tok guru sendiri perlu neutral, ikhlas membawa mereka yang bertelagah segera kembali berpegang pada tali ALLAH, jangan berpecah belah, apa lagi kedua-dua mereka adalah pemimpin utama negeri. Bukankah rosak pemimpin, rosaklah juga negeri?

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

No comments

Powered by Blogger.