MPKB nafi paksa pasar raya pasang CD ceramah Pas
KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya pihak majlis mengedar cakera padat (CD) ceramah Pas kepada 13 buah pasar raya di bawah pentadbirannya untuk diperdengarkan kepada umum.
Arahan mengedarkan CD itu dikatakan dikeluarkan sejak akhir tahun lepas melalui surat arahan rasmi Pengarah Jabatan Pembangunan Islamnya yang baru, Azhar Abdul Satar.
Pegawai Perhubungan Awam MPKB, Azman Mohd Daham menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengedarkan risalah atau surat arahan untuk tujuan itu.
Beliau percaya surat yang ditandatangani dan diedarkan berbentuk arahan yang wajib dipatuhi oleh pengusaha pasar raya terbabit dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan reputasi pegawai berkenaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan itu hanya mengedarkan CD berupa ceramah agama supaya dipasang di pasar raya berkenaan setengah jam setiap kali sebelum masuk waktu solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
Azman berkata surat edaran kepada 13 pasar raya bertarikh 20 November lepas untuk memperdengarkan ceramah agama oleh penceramah motivasi Ustaz Azhar Idrus adalah lebih berupa meminta kerjasama pihak pasar raya dan bukan arahan.
Beliau kesal kerana surat itu telah diubahsuai hingga memberi maksud arahan wajib dipatuhi iaitu seperti "Mendengar CD ceramah PAS sahaja akan menjamin masuk syurga. Pemilik berbangsa Cina juga tidak terkecuali, jika didapati engkar dan degil dengan arahan ini tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang notis."
Azman berkata, di sebelah kanan tanda tangan Azhar pula tertulis "Amaran!
Hanya CD Tok Guru (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dan Ustaz Azhar Idrus sahaja yang wajib dipasang, pasar raya yang gagal akan berdepan dengan tindakan Kerajaan".
Berikutan itu, Azhar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu petang ini, meminta polis membuat siasatan berhubung.
Jurucakap polis Kota Baharu mengesahkan menerima laporan itu. - Bernama
No comments
Post a Comment