Dr Asri: Saya hanya rakyat marhaen

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.15900.1346367655!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg

SAYA ingin menulis sesuatu yang agak peribadi, tetapi rasanya boleh dikongsi. Ini kerana baru-baru ini saya menerima beberapa mesej bertulis dari orang-orang muda yang dihantar kepada saya oleh beberapa pihak yang merasakan tidak sedap hendak disebut nama saya bersama dengan gelaran Datuk kerana tidak mesra kata mereka.

Mereka kata kami semua sejak dulu terbiasa memanggil Dr Asri ataupun Dr MAZA, rasa macam tidak sedap sebut Datuk pula kata depan nama. Saya senyum. Saya tidak pernah kisah tentang itu semua.

Sebelum saya meneruskan, saya ingin terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Raja Perlis atas penganugerahan kepada saya gelaran Datuk Arif Perkasa sempena hari keputeraan ada 17 Mei 2012 yang lepas. Semasa itu saya berada di UK dan tidak dapat menghadiri upacara berkenaan.

Hanya pada 25 September baru-baru ini saya dapat menghadirikan diri untuk sesi saya yang tertangguh tersebut. Saya berterima kasih kerana pihak Istana Arau sudi kerana mentauliahkan saya yang merupakan rakyat marhaen ini Datuk bergelar bagi Istana Arau. Di sini saya coret satu perkara yang boleh kita kongsi.

Siapalah Saya

Apabila pihak Kerajaan Perlis mengumumkan anugerah tersebut di media pada bulan Mei lepas, ramai yang menghantar ucapan tahniah. Namun dalam masa yang sama ada beberapa e-emel yang saya terima memohon agar saya tidak memakai apa-apa gelaran kebesaran.

Saya perlu kekal sebagai Dr Asri, ataupun Dr MAZA. Saya perlu kekal sebagai suara rakyat marhaen, kata mereka. Baru-baru ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program, seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Datuk, beberapa orang menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan ‘alangkah baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan asalnya. Itu lebih mesra dan dekat di hati kami. Saya terkesan dengan hal itu.

Sebenarnya, anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya untuk disebut ataupun dikenang. Dari segi harta, jika gelaran Datuk itu sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk dibayangkan.

Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti rakyat kebiasaan yang lain. Sehingga artikel ini ditulis, jika anda berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan hanya ALLAH Yang Tahu.

Setiap kita mengetahui siapakah diri kita. Selepas ALLAH Yang Maha Tahu segalanya, insan itu sendirilah yang paling tahu tentang dirinya. Segala penampilan, pujian, gelaran dan pangkat yang manusia berikan tidaklah semestinya sama dengan hakikat sebenar diri yang berkaitan itu di sisi ALLAH Yang Maha Mengetahui. Betapa ramai orang yang dipuji dengan pelbagai pujian, dia sendiri pun tahu dia bahawa dia bukan layak dengan segala ungkapan itu.

Betapa banyak orang yang dianggap tiada nilai ataupun rendah kedudukannya, dia di sisi ALLAH jauh lebih baik dari mereka yang banyak dipuji dan dipuja. Nabi s.a.w bersabda: “Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama ALLAH nescaya ALLAH tunaikan”. (Riwayat Muslim).

Justeru, orang yang mempunyai gelaran kebesaran, belum tentu lebih baik di sisi ALLAH dibanding rakyat marhaen biasa. Ustaz yang berceramah di depan majlis, belum tentu lebih disayangi ALLAH dari mereka yang duduk di bawah mendengar ceramahnya.

Bahkan mungkin yang berceramah itu ALLAh benci disebabkan kesombongan, riyak dan ‘gila dunia’ yang bersarang dalam jiwanya. Sementara yang hadir mendengar dengan ikhlas, tanpa sebarang tujuan melainkan mencari redha ALLAH, dia sangat ALLAH sayangi. Saya memberitahu dalam kuliah saya bahawa dalam sunnah, bayi yang lahir dibawa kepada Nabi s.a.w lalu didoakan.

Maka, eloklah membawa anak kita kepada orang soleh yang mustajab doanya supaya mendoakannya. Ada yang salah faham, mereka sering membawa anak-anak mereka berjumpa saya supaya saya mendoakannya.

Saya terpaksa beritahu mereka, saya mungkin seorang yang agak terpelajar dalam bidang agama tetapi itu tidak menunjukkan saya seorang soleh, ataupun saya ini dikasihi ALLAH sehingga doa saya mustajab. Carilah orang yang soleh, sekalipun mereka itu tidak ternama.

Rahsia Insan

Insan yang baik ialah insan yang hubungannya dengan ALLAH sangat indah, melebihi apa yang disangka oleh manusia. Sesiapa yang baik hubungannya dengan ALLAH, maka ALLAH akan membaiki urusannya.

Namun dalam pergaulan sesama insan, kita tidak disuruh oleh Islam untuk mencari rahsia peribadi orang lain. Bahkan kita diharamkan menyingkap keaiban yang disembunyikan oleh seseorang. Kita menilai manusia apa yang zahir sahaja.

Adapun urusan batinnya, itu antara dia dengan ALLAH. Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menyebut: “Sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah s.a.w diambil tindakan berdasarkan (pemberitahuan dari) wahyu. Sesungguhnya wahyu pada hari ini telah terputus. Maka kami pada hari ini bertindak berdasarkan apa yang zahir pada kami dari amalan kamu.

Sesiapa yang menzahirkan kebaikan, maka kami berikannya kedamaian (tidak diganggu) dan memuliakannya. Kami tidak masuk campur urusan rahsia batinnya. Sesiapa yang menzahirkan keburukan, maka kami tidak berinya kedamaian dan tidak mempercayainya sekalipun dia berkata batinnya baik”. (Riwayat al-Bukhari).

Batin yang baik, akan melahirkan akhlak yang baik. Namun tidak dinafikan, ada batin yang jahat, tetapi berpura-pura baik pada zahirnya. Adapun kita hanya mampu menilai yang zahir, urusan rahsia batin seseorang akan dinilai oleh Tuhan. Justeru, kita berdoa agar batin dan zahir kita, kesemuanya dinilai baik di sisi Tuhan. ALLAH Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi.

Ada Apa Pada Gelaran

Kita hormati gelaran baik yang orang berikan. Namun, kita hendaklah sentiasa tahu hakikat diri kita bukan bergantung kepada apa orang sangka, tetapi kepada siapa sebenarnya kita. Rahsia batin antara dia dan Tuhan adalah intipati sebenar diri seseorang.

Saya tersenyum apabila mendengar kisah ada orang agama yang cuba memberikan pelbagai gelaran kehebatan untuk dirinya sendiri. Saya teringatkan Nabi s.a.w yang menyebut: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba ALLAH. Katakanlah: “Hamba ALLAH dan rasulNya” (al-Bukhari).

Namun dalam pergaulan, sebagai muslim, agama mengajar kita menghormati orang lain dan beradab sopan. Kita memanggil manusia dengan panggilan yang layak atau panggilan baik yang dipanggil kepada mereka. Ketika Nabi s.a.w menghantar surat kepada Maharaja Rome, baginda Nabi s.a.w tetap menyebut kebesaran pangkatnya.

Nabi s.a.w memulakan surat baginda: “Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh ALLAH kepada Hercules Orang Maha Besar Rome…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi s.a.w menyebutkan selepas namanya kedudukannya sebagai ‘azim ar-Rum’. Azim bererti orang yang teramat besar Rom.

Saya tidak kisah sama ada sesiapa hendak memanggil saya Datuk ataupun tidak. Itu semua tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya sebagai rakyat marhaen ini. Namun, saya tidak menggalak hal itu dibuat kepada orang lain kerana mungkin nanti mereka tidak suka. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim secara ta’liq dan sahih: Kata ‘Aishah r.a: “Nabi s.a.w memerintahkan kami meletakkan manusia pada kedudukannya”

Adapun saya, tidak kisah selagi tidak memanggil dengan panggilan yang buruk kerana itu tidak disukai oleh agama ini. Kemuncak kepada kehidupan bukan gelaran dan pangkat, tetapi di manakah nanti tempat kita di akhirat. Ini mengingatkan saya sekali lagi kepada dialog Khalifah Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah.

Kata Rajak bin Haiwah: Ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju”. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya murah.”

Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: Belikan untukku sehelai baju”. Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ianya mahal”.

Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. ‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?. Kataku: “Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?.

Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya”. (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Pangkat dan nama adalah panggilan dan kedudukan di dunia. Hakikatnya apabila mati, seperti yang ALLAH nyatakan: (maksudnya) “dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada Hari Kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu ALLAH dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa” (Surah al-An’am, 94).

Panggillah saya dengan apa sahaja panggilan yang sopan sebagai insan Muslim, yang sesuai pada penilaian anda. Panggillah dengan panggilan yang masing-masing dapat menjaga kesopanan Muslim serta menjadikan jiwa kita lunak dan kita dapat bersahabat di dunia dan di akhirat. Marilah kita pentingkan persahabatan melebihi segala pangkat dan panggilan.

* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis

No comments

Powered by Blogger.