Pembangkang di Selangor diminta henti kelirukan isu paras air



SHAH ALAM 21 Oktober: Kerajaan Selangor menggesa pembangkang di negeri itu supaya berhenti mengelirukan rakyat berhubung isu paras empangan air di Selangor.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, isu itu sengaja ditimbulkan untuk menakutkan rakyat Selangor dan penduduk Lembah Klang.

“Saya menggesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang (Umno BN) di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan mengelirukan mengenai isu air, termasuk kedudukan paras takungan di empangan.

“Kenyataan mengelirukan itu jelas tidak benar dan ia seolah-olah memperlekehkan kerja keras kakitangan kerajaan yang selama ini bertungkus lumus memastikan bekalan air mentah mencukupi,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya lagi, beliau berpuas hati dengan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat kepada 55.43 peratus iaitu sebanyak 127,49 juta meter.

“Empangan ini membekalkan air untuk dirawat di 3 loji pembersihan air (LPA) iaitu di LPA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LPA Sungai Selangor 2 (SSP2) dan LPA Bukit Badong (SSP3), 60 peratus bekalan di sekitar disumbangkan oleh Empangan Sungai Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang bekerja keras dalam memantau status empangan supaya berada pada paras memuaskan dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

“Segala usaha yang dilakukan adalah bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan penyusunan semula industri perkhidmatan air yang masih terbantut disamping meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar Khalid.

No comments

Powered by Blogger.