Kerajaan Pusat Harus Adil Dan Saksama Kepada Semua Negeri
Afix Redzuan
KUALA LUMPUR, 8 OKT : Kerajaan Pusat perlu mengamalkan dasar pemberian peruntukkan dana pembangunan secara sama rata dan memberi tumpuan kepada negeri yang mempunyai pendapatan perkapita yang rendah.
MP Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sesi Perbahasan Bajet 2013 berkata, ini bagi mengatasi situasi ekonomi antarabangsa yang semakin mencabar.
Jelas Abdul Khalid, Kerajaan perlu mengamalkan dasar pembangunan ekonomi dari “bawah ke atas” di mana perancangan pembangunan diadakan dengan kerajaan negeri.
“Saya mengingatkan bahawa keadaan ekonomi dunia tidak berada dalam keadaan yang teguh. Oleh sebab itu belanjawan kita perlu mengambil kira keadaan ini.
“Pengalaman yang sudah kita alami pada tahun 2008-2009 mestilah menjadi iktibar. Caranya adalah memberikan peruntukkan dana-dana yang cukup supaya negeri tidak menghadapi keadaan (ekonomi) yang meleset.
“Dengan cara itu (kita) dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Abdul Khalid di dalam ucapannya di dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata berdasarkan data yang diberikan oleh Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2008-2009, peratus pertubuhan ekonomi negara turun sebanyak 1.6 peratus dan keadaan ini turut memberikan kesan kepada negeri-negeri.
Kesan kelembapan ini mengakibatkan Selangor menghadapi penurunan pertumbuhan ekonomi sebanyak 1 peratus, Johor 4 peratus manakala negeri lain pada kadar 5 dan 6 peratus.
Namun pada tahun 2010, petumbuhan ekonomi Selangor melonjak kepada 10.8 peratus.
Sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid berkata Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 23 peratus.
“Penyumbang ekonomi negara tertinggi adalah Selangor dengan 23 peratus. Negeri kedua tertinggi pula kurang daripada 10 peratus,” katanya.
Beliau menambah, negara perlu bersedia dengan situasi ekonomi antarabangsa yang akan tumbuh pada tahap “w”, iaitu, meleset- naik-meleset.
Jelasnya lagi, segala bentuk perbelanjaan negara perlu diperincikan selain mengamalkan konsep ketelusan agar konsep ‘Value for money’ dapat dipantau dan dilihat oleh rakyat.
No comments
Post a Comment