Kelantan isytihar 21 Okt cuti peristiwa

http://bm.harakahdaily.net/images/stories/berita/17feb/ab_fattah_mahmood.jpg

Mohd Nor Yahya,

KOTA BHARU: Kelantan mengisytiharkan 21 Oktober ini cuti peristiwa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara pasukan negeri itu dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Oktober di Shah Alam.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, sebentar tadi.

“Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) berharap orang ramai yang ingin ke Shah Alam menyaksikan perlawanan akhir ini dapat berada dalam keadaan selesa pergi dan balik dan sentiasa mematuhi aturan jalanraya agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” ujar beliau.

Beliau juga berharap rakyat Kelantan menjaga disiplin ketika menyaksikan perlawanan akhir tersebut agar imej negeri Kelantan dilihat sebagai sebuah negeri yang berdisiplin.

Abdul Fattah juga berkata cuti peristiwa ini adalah kali kedua dalam tahun ini selepas Kelantan berjaya memasuki akhir Piala FA yang bertemu dengan Sime Darby pada 20 Mei lalu.

Bagi kali ini pula, Abdul Fattah berkata langkah mengumumkan cuti peristiwa lebih awal kerana ia mengambil kira juga musim peperiksaan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Jabatan Pelajaran Negeri.

Menyentuh ganjaran yang kerajaan sediakan untuk The Red Warriors kali ini, Fattah berkata ia sudah ada dalam perancangan kerajaan negeri namun dari segi jumlah tidak dapat diberitahu lagi.

No comments

Powered by Blogger.