Buat Peminat Bola Sepak Pasukan Kelantan
Kelantan ke final
PENYERANG import dan pemain tengah Kelantan, Mohamad Ghaddar dan Mohd. Badri Mohd. Radzi memastikan The Red Warriors menempah slot ke perlawanan akhir kempen Piala Malaysia 2012 selepas masing-masing menjaringkan satu gol untuk menewaskan Selangor 2-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Dengan kemenangan itu, Kelantan melangkah bergaya ke final dengan kelebihan agregat 3-0 selepas meraih kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.
Bagi Selangor, kekalahan tersebut terus membantutkan ‘Misi 33’ mereka musim ini.
Kelantan akan membuat perhitungan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini.
Pada perlawanan semalam, Kelantan memang berhak muncul pemenang kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai permainan.
Begitupun, aksi pada babak pertama agak seimbang dan kedua-dua pasukan tampil dengan rentak yang agak berhati-hati.
Selangor pula harus menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana barisan penyerang mereka kurang bijak mencuri peluang biarpun memperoleh beberapa peluang keemasan untuk merobek gawang lawan.
Kelantan hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Ghaddar pada minit ke-12 tetapi tandukannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norzalan Razali.
Ghaddar kembali mempamerkan persembahan cemerlang pada minit ke-38 dan hampir membuka jaringan menerusi percubaan dari jarak jauh tetapi sepakannya dinafikan kecekapan Norzalan.
Tersentak dengan asakan pasukan pelawat, Selangor kembali bangkit menyusun serangan namun masih gagal untuk menembusi benteng pertahanan The Red Warriors.
Peluang terbaik Selangor hadir menerusi rembatan padu penyerang import, Bosko Balaban pada minit ke-44 namun berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Bersambung babak kedua, Selangor terus menggandakan asakan menerusi gandingan Amri Yahyah, Balaban dan kapten, Safiq Rahim tetapi usaha mereka tetap buntu.
Selangor yang terdesak untuk memburu gol bagi memadam kelebihan jaringan Kelantan, hampir di depan menerusi Balaban namun percubaan itu berjaya di dakap kemas oleh Khairul Fahmi pada minit ke-49.
Ghaddar akhirnya berjaya memecah benteng pertahanan Selangor sebelum mengelecek empat pemain Gergasi Merah sebelum menewaskan Norazlan untuk gol pertama Kelantan.
Badri melengkapkan malam bergaya The Red Warriors menerusi sepakan percuma pada minit ke-85 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Selangor terus dihukum apabila menyaksikan Balaban dilayang kad merah apabila penyerang veteran Gergasi Merah itu menyiku pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri pada minit ke- 87.
No comments
Post a Comment